37364795 1446 4f91 9129 e4ffdb3934ae 1024x773 1

Bina segera pusat lupus sisa kimia

37364795 1446 4f91 9129 e4ffdb3934ae 1024x773 1

37364795 1446 4f91 9129 e4ffdb3934ae

JOHOR BAHRU: Kerajaan digesa menyegerakan pembinaan sebuah pusat pelupusan sisa kimia di Johor bagi menangani masalah pembuangan sisa kimia atau bahan buangan ke sungai berhampiran.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, cadangan tentang pembinaan pusat pelupusan sisa kimia itu telah lama disuarakan, namun belum ada perancangan konkrit dibuat.

Katanya, bulan lalu beliau sekali lagi menyuarakan perkara sama kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad tentang cadangan tersebut kerana tidak mahu tragedi Sungai Kim Kim berulang.

“Secara peribadi, saya sudah suarakan perkara ini di Parlimen sejak berlakunya kes pencemaran Sungai Kim Kim pada 2019. Kemudian, saya dijanjikan ia dibina segera, tetapi kita faham kerajaan bertukar-tukar.

“Kelmarin, saya maklumkan pula mengenai keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap pelaku yang menyebabkan berlakunya pencemaran Sungai Kim Kim. Saya mahu beliau (Nik Nazmi) tahu betapa seriusnya isu pencemaran sungai ini terutama di Pasir Gudang dan beliau ambil maklum,” katanya.

Beliau mengulas keputusan yang dikenakan mahkamah terhadap seorang pemandu lori yang mengaku bersalah menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 2019.

Pemandu lori itu dilaporkan didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran Sungai Kim Kim.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya memaklumkan, N. Maridass didapati melepaskan enap cemar berminyak seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke sungai itu.

JAS memaklumkan syarikat P Tech Resources Sdn. Bhd., yang didakwa dengan lapan pertuduhan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.

Kejadian pencemaran sisa bahan kimia pada 13 Mac 3019 itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac.

Insiden itu turut menyaksikan 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultan Ismail (HSI).

Susulan keputusan mahkamah berkenaan, Kerajaan Negeri Johor dilapor akan membuat rayuan terhadap hukuman dikenakan terhadap pemandu lori tersebut kerana berpendapat jumlah denda sebanyak RM320,000 terlalu rendah dan tidak setimpal.

Hassan berkata, dengan adanya pusat pelupusan sisa kimia itu nanti dapat mengurangkan kos penghantaran ke tempat pengurusan sisa kimia di Negeri Sembilan.

Beliau menyarankan supaya pusat pelupusan sisa kimia itu dibina di kawasan tumpuan industri seperti Pasir Gudang, Tebrau atau Pengerang.

“Untuk lupuskan sisa kimia ini, syarikat terbabit perlu hantar ke Negeri Sembilan. Ia menelan belanja yang besar dan jauh, itu mendorong tindakan tidak bertangggungjawab dengan membuangnya ke dalam sungai,” katanya. – UTUSAN

The post Bina segera pusat lupus sisa kimia appeared first on Utusan Malaysia.