Redah1 1

Malakoff Amazing Hunt 2023: Melihat sampah daripada sisi berbeza

Redah1 1

BAGI sesetengah orang, hal berkaitan aktiviti kitar semula adalah hanya menjadi sebahagian tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan.
Namun jika memahami kebaikan dan kepentingan kitar semula kepada bumi dan generasi akan datang, sudah pasti tugas menjaga alam sekitar menjadi lebih mudah.
Kita juga tidak berdepan isu-isu terkait dengan pengurusan sisa pepejal disebabkan semua orang sudah tahu tanggungjawab masing-masing. Bukan semua sampah adalah sampah. Ada yang bernilai serta memberi kesan baik untuk jangka panjang.
Ini yang selalu kita diberitahu apabila bercakap tentang soal kitar semula. Namun, elemen teori tanpa praktikal semata-mata tidak cukup untuk kefahaman ramai dan menjadikan ia sebahagian cara hidup.
Malah kebanyakan masyarakat kita tidak menyedari nilai komoditi tinggi daripada sampah yang mereka hasilkan apabila Malaysia mencapai kurang 40 peratus kadar kitar semula berbanding negara maju iaitu 60 peratus.
Bukan itu sahaja, dilaporkan kira-kira 14 juta tan sampah di negara ini dikutip sepanjang tahun lalu dengan dianggarkan 95 peratus daripadanya berakhir di tapak pelupusan sampah.
Sehubungan itu apabila menyertai pertandingan acara Malakoff Amazing Hunt 2023 baru-baru ini, saya fikir ini antara pendekatan terbaik bagaimana membudayakan aktiviti kitar semula iaitu menerusi acara pencarian harta karun atau apa juga permainan.
Manakan tidak, dalam pertandingan berkenaan, aktiviti pencarian harta karun sebagaimana yang menjadi kelaziman diselitkan dengan aktiviti kesedaran tentang barangan kitar semula di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) Putrajaya.
Semua kumpulan yang bertanding perlu menjual barangan yang dikumpul selain melaksanakan tugasan berkaitan kitar semula.
Menurut salah seorang peserta, Azmi Nordin, dia sendiri sebelum ini tidak mengetahui kadar harga dan barangan yang boleh dijual di pusat kitar semula.
“Saya langsung tidak Img 20231219 wa0069 450x600 1tahu berapa harga sekilogram untuk barang-barang seperti tin aluminium dan kotak. Malah saya tidak tahu minyak masak terpakai boleh dijual dengan harga agak lumayan iaitu RM2.80 sekilogram.
“Jadi, keadaan ini secara tidak langsung memberi terjemahan bahawa orang ramai mampu menjana pendapatan dengan amalan ini selain membantu menghijaukan bumi kita,” katanya baru-baru ini.
Tambahnya, dia sendiri sebelum ini beranggapan semua jenis tin boleh dijual dan menjadi barangan berharga untuk dikitar semula walaupun hakikatnya tidak.
Dalam pada itu, Ketua Komunikasi dan Penjenamaan Kumpulan, Suriati Mohammad Mokhtar berkata, acara ini juga dalam masa sama dapat mengetengahkan peranan dan penjenamaan semula identiti Malakoff .
“Ini antara salah satu saluran untuk memberitahu pihak berkepentingan, kakitangan dan media tentang Malakoff selepas dijenamakan semula.
“Peserta akan memahami arah tuju dan misi Malakoff yang kini mempunyai tiga entiti jenama baharu iaitu Malakoff Green Solutions, Malakoff Environmental Solutions dan Malakoff Energy,” jelasnya.
Sebagai rekod Malakoff Green Solutions untuk sumber tenaga boleh diperbaharui melalui solar, hidro kecil, dan infrastruktur mobiliti karbon bebas.
Sementara itu, Malakoff Environmental Solutions untuk penyelesaian kitar semula, pengurusan sisa marin, sisa berbahaya, pengurusan sisa, penyahgaraman air, dan projek sisa kepada tenaga manakala Malakoff Energy untuk penyelesaian kuasa, gas dan penyejukan.
Seramai 100 peserta terdiri daripada media dan pihak berkepentingan terlibat dalam pertandingan yang buat julung kalinya diadakan itu.
Para peserta turut diberikan kuiz dalam kereta, mencari soalan harta karun di setiap tempat yang ditentukan dan tugasan kitar semula di FIKS. – Mingguan Malaysia

The post Malakoff Amazing Hunt 2023: Melihat sampah daripada sisi berbeza appeared first on Utusan Malaysia.

Responses

Comments are closed.