Img 20231213 wa0025 1024x768 1

Polis lupus 283 mesin Bitcoin bernilai RM88,000 di Kuantan

Img 20231213 wa0025 1024x768 1

Img 20231213 wa0025

KUANTAN: Polis daerah ini melupuskan 283 mesin melombong Bitcoin dan 438 alat pembekal kuasa yang keseluruhannya bernilai RM88,000.

Kesemua peralatan melombong Bitcoin itu meliputi lima kes yang diselesaikan dari 2021 sehingga awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pelupusan barang kes itu dilakukan setelah mendapat arahan pelupusan barang kes oleh mahkamah.

Katanya, proses pelupusan melibatkan kaedah hancur dan dilupuskan oleh ejen dilantik Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi melupuskan sisa elektronik (e-waste) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dan Alam Flora.

“Ini merupakan kaedah yang diperuntukkan melalui prosedur operasi standard (SOP) pelupusan barang kes melibatkan mesin Bitcoin.

“Selain mesin Bitcoin dan alat pembekal kuasa, turut dilupuskan barangan elektronik lain seperti komputer riba, unit pemprosesan komputer (CPU) dan peralatan elektronik lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, pelupusan itu melibatkan kes-kes di sekitar daerah ini yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan berkaitan kes pecah rumah siang hari yang berlaku di Medan Tok Sira di sini, Jumaat lalu.

Beliau berkata, siasatan lanjut itu termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar kediaman mangsa. – UTUSAN

The post Polis lupus 283 mesin Bitcoin bernilai RM88,000 di Kuantan appeared first on Utusan Malaysia.