21 lokasi bank makanan tangani konflik gajah manusia di Johor
KOTA TINGGI – Sebanyak 21 lokasi bank makanan (food bank) akan diwujudkan di Johor bagi menangani konflik gajah dan manusia yang berlarutan sejak sekian lama.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, setakat ini, empat lokasi bank makanan telah beroperasi dan dalam proses disiapkan termasuk di Santuari Gajah Johor (JES) Hutan Simpan Panti Kota Tinggi.
“Pihak Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) dengan kerjasama universiti membuat kajian (jadi) kaedah terbaik adalah kita adakan food bank bagi gajah-gajah tersebut.
“Kita tak mahu buat tangkapan translokasi atau cederakan gajah tersebut, cara terbaik kita menggunakan cara semulajadi kita bekalkan makanan yang secukupnya kepada hidupan liar ini.
“Kita sudah ada cadangan lokasi food bank di Johor, kita kenal pasti 21 kawasan termasuk JES ini,” katanya selepas melawat Santuari Gajah Johor hari ini.
Menurut beliau, bank makanan itu akan diwujudkan di laluan kumpulan gajah berkeliaran khususnya di Kota Tinggi, Kluang dan Mersing.
“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pemilik ladang untuk membina ‘food bank’ melibatkan penanaman rumput napier, pokok pisang dan tebu di kawasan seluas satu hektar,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 21 lokasi bank makanan tangani konflik gajah manusia di Johor appeared first on Kosmo Digital.