Santuari gajah 1024x576 1

Pembinaan santuari gajah di JRTB dalam peringkat pindah milik tanah

Santuari gajah

TAIPING – Kerajaan negeri Perak sedang dalam proses peringkat untuk pindah milik tanah di kawasan Batu 11, Lebuh Raya Timur – Barat berhampiran Gerik bagi pembinaan Santuari Gajah untuk menyelesaikan isu kacau ganggu mamalia tersebut di laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB).

Pengerusi Jawatankuasa Sains,Alam Sekitar dan Hijau dan Teknologi Negeri Perak, Teh Kok Lim berkata, lokasi untuk pembinaan santuari itu telah dikenal pasti.

“Kerajaan negeri kini dalam peringkat untuk pindah hak milik tanah kawasan berkenaan kepada kerajaan Persekutuan.

“Sebaik sahaja proses itu selesai ianya akan terus dilaksanakan segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Melawat Zoo Taiping di Pavillion Zoo Taiping & Night Safari disini hari ini.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa) pernah mengumumkan pembinaan sebuah Santuari Gajah Perak (PES) di Batu 11, Lebuh Raya JRTB berhanpiran Gerik.

Projek itu telah disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12) dibangunkan dengan kos kira-kira 40 juta dalam usaha berterusan memulihara haiwan liar itu termasuk menangani konflik antara gajah dan manusia.

Berhubung program hari ini, seramai 560 murid dan pelajar sekolah dari 28 sekolah rendah dan menengah di sekitar Parlimen Taiping telah menyertai Program Jom Melawat Zoo Taiping secara percuma.

Menurut Kok Lim, sebanyak RM20,000 telah diperuntukkan oleh Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh untuk melaksanakan program tersebut yang bermula dari 30 Mei hingga 2 Jun tahun ini. – KOSMO! ONLINE

The post Pembinaan santuari gajah di JRTB dalam peringkat pindah milik tanah appeared first on Kosmo Digital.