6 kawasan Sarawak catat IPU sangat tak sihat

Eae46f30 d0f2 4991 b4c2 7625f55db865 jerebu serian 040926
Eae46f30 d0f2 4991 b4c2 7625f55db865 jerebu serian 040926
Serian merekodkan bacaan tertinggi, 287, di sarawak setakat 1 tengah hari tadi. (gambar bernama)

KUALA LUMPUR: Enam kawasan Sarawak mencatatkan indeks pencemar udara (IPU) sangat tidak sihat setakat 1 tengah hari tadi dengan Serian merekodkan bacaan tertinggi, 287.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon, berkata lima lagi kawasan di negeri itu merekodkan bacaan sangat tidak sihat ialah Kuching (267), Sri Aman (251), Samarahan (242), Samalaju (202), dan Bintulu (201).

Beliau berkata, 25 kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat melibatkan Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Labuan, Sarawak, dan Selangor, selain 26 kawasan mencatatkan status kualiti udara sederhana dan 11 kawasan pada tahap baik.

Azuri Azizah berkata, keadaan itu berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian Rantau Selatan Asean.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) semalam, 139 titik panas dikesan di Kalimantan, Sumatera (138), dan Malaysia (16), iaitu sembilan di Sarawak, Sabah (lima), dan Terengganu (dua).

“ASMC turut melaporkan jerebu sederhana hingga tebal diperhatikan bergerak ke arah timur laut dari Kalimantan ke beberapa kawasan di Sarawak, Sabah, dan Brunei.

“Kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan di Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur serta bahagian tengah dan selatan Sumatera, manakala jerebu sederhana di Singapura, bahagian selatan Semenanjung dan bahagian timur Jawa,” katanya dalam kenyataan.

Azuri Azizah berkata, sebarang sumber pembakaran terbuka atau pencemaran yang dikenal pasti akan disiasat dan tindakan penguatkuasaan akan diambil dengan tegas mengikut peruntukan undang-undang serta bidang kuasa JAS.

Orang ramai diminta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui talian 999 atau talian bebas tol JAS 1-800-88-2727 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Related Articles