90,000 kg sisa banjir Kota Tinggi dibersihkan

KOTA TINGGI: Kira-kira 90,000 kilogram sisa banjir di daerah ini dibersihkan oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment)  dalam Operasi Pembersihan Pasca Banjir sejak Jumaat lalu. 

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, operasi tersebut melibatkan seramai 130 anggota kerja SWM Environment dari cawangan Kota Tinggi, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang.

Katanya, sebanyak 22 jentera seperti lori Roll-On, Roll-Off (RORO) dan jentolak turut digunakan dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas. 

Selain Kota Tinggi, pihak SWM Environment juga baru memulakan operasi pembersihan pasca banjir di daerah Mersing pada hari ini.

“SWM Environment telah tampil menyelaraskan anggota dan jentera bagi membantu mangsa banjir di seluruh negeri melalui Misi Bantuan Banjir melibatkan dua fasa, iaitu Operasi Kutipan Sisa Pepejal di pusat pemindahan sementara (PPS) dan Operasi Pembersihan Pasca Banjir.

“Perancangan dan persediaan misi bantuan banjir bagi menghadapi Monsun Timur Laut telah disusun oleh SWM Environment sejak Oktober tahun lalu terutamanya dalam mendepani kejadian banjir di kawasan berisiko tinggi di negeri ini.

“Malah, kerjasama erat antara pihak SWM Environment dengan agensi kerajaan di negeri ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan SWCorp Negeri Johor telah memastikan kelancaran bantuan dilaksanakan sebaik banjir mula melanda di beberapa daerah.

Katanya, SWM Environment telah memulakan misi bantuan banjir dengan menyelaraskan Operasi Kutipan Sisa Pepejal di PPS menerusi penyediaan kemudahan tong-tong sampah yang mencukupi dan perkhidmatan kutipan sisa pepejal berjadual di hampir keseluruhan PPS.

Menurutnya, usaha itu turut dilakukan di PPS yang berada di luar kawasan perkhidmatan SWM Environment bagi memenuhi keperluan serta memastikan kebersihan dan keselesaan mangsa banjir di semua PPS. – UTUSAN

The post 90,000 kg sisa banjir Kota Tinggi dibersihkan appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles