Pahang al sultan abdullah agong

Agong titah kawasan bandar di Pahang perlu indah dan bersih

LIPIS -Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar kawasan-kawasan bandar di seluruh Negeri Pahang perlu dibersih dan diindahkan.

Baginda bertitah tidak mahu dalam usaha mengekalkan alam sekitar, tetapi di bandar mempunyai kawasan yang kotor dan tidak bersih.

“Hal ini saya harap dapat diberi perhatian yang wajib kerana kebersihan ini adalah kehendak agama Islam.

“Sebab itu bila saya pulang ke Pahang mulai bulan Februari nanti, saya akan melawat setiap daerah dan bandar bagi menentukan kawasan-kawasan ini berada dalam keadaan yang bersih serta sihat.

“Kita tidak mahu adanya segala penyakit terdapat di Negeri Pahang ini,” titah baginda pada Majlis Pemasyhuran Lipis sebagai Geopark Kebangsaan di Tree Top Walk, Taman Negara Sungai Relau, Merapoh di sini hari ini.

Agong al sultan abdullah pahang
Al-sultan abdullah melihat harimau malaya yang diawet sempena majlis pemasyhuran lipis sebagai geopark kebangsaan di tree top walk, taman negara sungai relau, merapoh di lipis hari ini.

Dalam pada itu, Al Sultan Abdullah mengingatkan agar kawasan-kawasan yang telah diisytihar Pertubuhan Pendidikan, Sainstifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai kawasan ‘eco friendly’ ini boleh juga dibangunkan namun perlu berlandaskan kaedah-kaedah kelestarian persekitaran.

Baginda berharap agar ia dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin sekali gus mampu menjadikan negeri Pahang sebagai negeri contoh dalam hal-hal berkaitan kelestarian alam.

“Kita jangan terlalu gilakan sangat pembangunan tetapi biarlah secara sederhana dan berperingkat-peringkat.

“Kita tidak mahu pembangunan terlampau tinggi dengan sekelip mata tetapi biarlah berfasa-fasa supaya kita dapat kekalkan keharmonian daerah dan negeri.

“Kita tidak mahu ada masalah kotoran, udara yang kotor, kesesakan lalu lintas serta pelbagai lagi dan kita tidak mahu penyakit yang ada di kota-kota yang maju juga dapat di daerah kita ini,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

The post Agong titah kawasan bandar di Pahang perlu indah dan bersih appeared first on Kosmo Digital.