Agrobank lancar CDC untuk manfaat komuniti pertanian di Kelantan

KOTA BHARU – Pusat Pembangunan Komuniti (CDC) yang pertama dibangunkan oleh Agrobank di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di sini bakal memberi manfaat kepada komuniti sektor pertanian di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pusat tersebut  akan menyediakan perkhidmatan pembangunan modal insan dalam mengintegrasikan petani dan teknologi untuk meningkatkan kecekapan yang merangkumi penggunaan alat pertanian khusus, perisian pengurusan ladang serta peranti internet kebendaan ( IoT). 

Menurut beliau, Ia juga dapat menyokong pembangunan mampan dalam penyampaian faedah ekonomi, sosial dan alam sekitar untuk mewujudkan nilai perniagaan yang besar seperti Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta kerjasama dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

“Pusat pembangunan ini adalah komitmen Agrobank terhadap pertumbuhan pertanian dalam memperkasakan komuniti tempatan, memupuk inovasi di samping dapat menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang sektor pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian CDC di RTC Tunjong  yang disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di sini.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah menjelaskan, pembangunan CDC berperanan sebagai salah satu inisiatif untuk mencapai misi Agrobank iaitu Memperkasakan Pertanian Melangkaui Perbankan.

Menurutnya, CDC menyediakan maklumat mengenai geran, subsidi dan peluang pembiayaan selain akses sumber kewangan yang penting untuk pembangunan projek pertanian. 

RTC Tunjong yang dimiliki oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) adalah kompleks pasar borong melibatkan 807 peruncit melibatkan peniaga di Kota Bharu. -KOSMO! ONLINE

 

The post Agrobank lancar CDC untuk manfaat komuniti pertanian di Kelantan appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles