Angin kencang sukarkan pemadaman kebakaran paya gambut di Pengerang

KOTA TINGGI: Cuaca panas dan tiupan angin kencang menyebabkan operasi pemadaman kebakaran terbuka membabitkan kawasan hutan paya gambut seluas kira-kira 51.4 hektar di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove, Pengerang sejak semalam sukar dijalankan.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, Baharuddin Idris, berkata kawasan kebakaran itu dibahagikan kepada dua sektor, iaitu Sektor A seluas 35.6 hektar dan Sektor B seluas 15.8 hektar.
Sehingga kini, jelasnya, kira-kira 9.7% kawasan kebakaran di Sektor A dikawal, manakala Sektor B berjaya dikawal.
“Kesukaran utama kita ialah angin kencang, cuaca panas dan sumber air terhad. Bagaimanapun, kita amat menghargai bantuan agensi lain yang menyediakan bekalan air. Keadaan ketika ini agak mencabar berikutan tiupan angin kuat dan cuaca panas, selain sumber air terbuka terhad.
“Kita mendapatkan bekalan air secara ulang-alik menggunakan tangki air bomba dengan bantuan agensi berkaitan, termasuk Ranhill SAJ,” katanya di lokasi kebakaran di sini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menerusi kaedah ‘direct attack’, selain pihaknya menunggu bantuan dua jentera ekskavator daripada agensi lain yang dijangka tiba hari ini.
Menurutnya, JBPM juga memerlukan ekskavator lebih besar dan jenis amfibia bagi membolehkan jentera beroperasi di kawasan hutan serta tanah paya, selain membantu mewujudkan ‘firebreak’, khususnya di Sektor A.
Mengulas risiko kebakaran merebak, katanya, kemungkinan itu masih ada sekiranya keadaan angin bertambah kuat, namun Sektor B telah berjaya dikawal.
“Kita berharap jika cuaca tidak terlalu panas, kita dapat memadamkan kebakaran di sebelah sana (Sektor B). Tetapi di Sektor A, kita masih memerlukan bantuan untuk membuat ‘firebreak’ menggunakan ekskavator amfibia.”
Baharuddin berkata, kebakaran itu tidak mengancam penempatan penduduk kerana kawasan perumahan terdekat di Sebana Cove terletak kira-kira 3km, manakala kawasan Punggai pula sekitar 4km hingga 5km dari lokasi kebakaran.
Sementara itu, jalan terlibat ditutup sepenuhnya kepada orang awam sejak 2 petang semalam bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kelancaran operasi pemadaman.
Jelasnya, kawasan kebakaran dikategorikan sebagai tanah pertanian, dengan sebahagian kecil kawasan berhampiran melibatkan tanah milik Felda Keledang yang mempunyai tanaman kelapa sawit, manakala kawasan lain belum ditanam.
Beliau berkata, punca kebakaran belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Bagaimanapun, terdapat unsur orang awam memasuki kawasan berkenaan, termasuk kemungkinan aktiviti memancing, namun kita tidak dapat dipastikan sama ada perkara itu ada kaitan dengan punca kebakaran atau sebaliknya.”
Menurutnya, aset yang digunakan dalam operasi pemadaman termasuk dua Fire Rescue Tender, sebuah water tanker, empat Toyota Hilux, sebuah eskavator dua dam, dua pam angkut dan tiga set generator, dengan kekuatan 21 anggota, termasuk empat daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) membabitkan empat balai bomba.
Sementara itu, Adun Tanjung Surat, Aznan Tamin menasihatkan penduduk setempat mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengelak menggunakan Jalan Bypass Punggai yang ditutup akibat kebakaran tanah gambut bagi memastikan keselamatan.
Katanya, asap tebal akibat kebakaran boleh menjejaskan jarak penglihatan dan meningkatkan risiko kemalangan, justeru orang ramai diminta menggunakan laluan alternatif, walaupun perjalanan lebih jauh sedikit.
Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan penempatan berhampiran, khususnya Taman Bayu Damai dan Punggai menggunakan pelitup muka, jika terdedah kepada asap tebal susulan bacaan indeks pencemaran udara di kawasan terbabit meningkat sedikit kepada 125.
“Saya berharap kejadian ini menjadi iktibar kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati dan tidak melakukan pembakaran terbuka, terutama ketika cuaca panas.”