Australia sahkan kematian burung besar-besaran akibat H5N1

3991b5a0 56af 41b6 a3b7 bdb375f22b44 julie collins c epa 030826
Julie collins (c)
Menteri pertanian, perikanan dan perhutanan julie collins berkata, kejadian kematian burung secara besar-besaran itu dijangka selepas strain berkenaan dikesan buat kali pertama di tanah besar australia pada pertengahan jun. (gambar epa images)

CANBERRA: Australia mengesahkan kejadian pertama kematian besar-besaran akibat selesema burung H5N1 membabitkan sekumpulan burung dara laut jambul besar yang ditemukan di sebuah pulau di luar pesisir pantai Australia Selatan, menurut pihak berkuasa pada Isnin, lapor Xinhua.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Julie Collins serta Menteri Alam Sekitar dan Air Murray Watt memaklumkan kepada pemberita, semua burung itu disahkan positif strain H5N1 influenza burung yang sangat patogenik.

Sebanyak 49 ekor burung ditemukan mati manakala 35 lagi sakit di sebuah pulau kecil kira-kira 5km dari pantai tenggara Australia Selatan menerusi pemantauan udara pada Jumaat, susulan peningkatan kes H5N1 di negeri itu.

Collins berkata, kejadian kematian besar-besaran itu dijangka selepas strain berkenaan dikesan buat kali pertama di tanah besar Australia pada pertengahan Jun.

“Malangnya, kami tahu bahawa apabila selesema burung H5 merebak dalam hidupan liar dan persekitaran semula jadi, mustahil untuk mengelakkan kematian yang banyak dan itulah yang mula kita saksikan sekarang.

“Rakyat Australia perlu bersedia untuk menyaksikan penularan yang lebih meluas serta lebih banyak hidupan liar terjejas,” katanya.

Sebelum strain itu dikesan di tanah besar Australia, kerajaan persekutuan memperuntukkan AUD113 juta (USD79.5 juta) bagi Langkah pemantauan, tindak balas dan kesiapsiagaan menghadapi wabak H5N1.

Watt berkata, pelan pengurusan kebangsaan bagi menangani strain itu telah diaktifkan, dengan tambahan peruntukan sebanyak AUD24 juta (USD16.9 juta) disalurkan.

Related Articles