Istanbul undi

Erdogan tekad ‘rampas’ Istanbul dalam pilihan raya perbandaran

Istanbul undi

ISTANBUL – Pengundi-pengundi Turkiye keluar mengundi dalam pilihan raya perbandaran hari ini, dengan Istanbul yang dianggap sebagai ‘permata negara’ menjadi tumpuan utama banyak pihak.

Bandar raya itu menjadi tumpuan selepas ia berjaya dikuasai pembangkang menerusi Ekrem Imamoglu daripada Parti Rakyat Republikan (CHP). Beliau kemudian menjadi Datuk Bandar selepas menewaskan calon parti pemerintah dalam pilihan raya perbandaran pada 2019.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menamakan bekas menteri alam sekitar, Murat Kurum sebagai calon Datuk Bandar Istanbul bagi menentang Imamoglu.

Tinjauan terbaharu menunjukkan bahawa Imamoglu, yang menewaskan sekutu Erdogan dalam pilihan raya 2019 mendahului pencabarnya itu.

Sebelum ini, undian pada 2019 dibatalkan secara kontroversi tetapi Imamoglu memenangi pilihan raya tersebut yang diadakan semula dengan kelebihan lebih besar sekali gus menjadi seteru hebat Erdogan.

Selepas memenangi pemilihan semula sebagai Presiden Turkiye pada Mei tahun lalu, Erdogan melancarkan kempen untuk menawan semula  bandar raya yang dihuni oleh 16 juta orang tersebut.

Kira-kira 61 juta pengundi akan memilih Datuk Bandar di seluruh 81 wilayah Turkiye, selain ahli-ahli majlis dan pegawai tempatan yang lain.

Namun, pada kali ini, pihak pembangkang telah berpecah-belah berbanding ketika pilihan raya perbandaran yang diadakan lima tahun lalu.

Pemerhati berkata, jika Imamoglu berjaya mengekalkan kerusi Datuk Bandar Istanbul, beliau akan menjadi pencabar utama parti pemerintah dalam pilihan raya presiden akan datang, yang ditetapkan pada 2028. – AFP

 

The post Erdogan tekad ‘rampas’ Istanbul dalam pilihan raya perbandaran appeared first on Kosmo Digital.