904776 1sss 1024x662 1

Hukum guna air sisa kumbahan terawat

904776 1sss

Tular di media sosial, ada sebahagian pihak yang mendakwa produk air suling yang dipasarkan di Malaysia sebagai minuman air mutanajjis. Ini kerana, ia terhasil daripada proses rawatan air sisa kumbahan. Mohon pencerahan, bolehkah meminum dan menggunakan air daripada sisa kumbahan untuk tujuan bersuci (taharah)?

Jawapan: Air kumbahan yang telah dirawat dan disingkirkan daripada elemen-elemen najis serta kotoran berdasarkan cara penyucian air mutanajjis melebihi dua kolah adalah air mutlak dan suci.

Oleh itu, penggunaan air tersebut boleh digunakan untuk bersuci (taharah), mahupun penggunaan harian.

Air merupakan elemen penting dalam kehidupan. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh tentang kepentingan dan peranan air sebagai satu medium yang digunakan untuk menyucikan dan menjadi sumber kelangsungan hidup kepada manusia, haiwan dan binatang.

Air kumbahan atau dipanggil ‘influen’ merupakan campuran antara air dengan najis termasuk hasil perkumuhan daripada manusia seperti tinja dan air kencing manusia.

Air sisa kumbahan terdiri daripada gabungan air hitam (sisa kumbahan) dan air kelabu (dari dapur dan bilik mandi), air sisa dari institusi dan pusat komersial termasuk hospital, buangan industri sama ada bahan terlarut atau terampai.

Di Malaysia, pendekatan yang diambil oleh syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) bagi mengelakkan pencemaran air hasil daripada sisa air kumbahan yang disalurkan dari paip pembentungan ke Loji

Rawatan Kumbahan (LRK) adalah dengan merawat sisa air kumbahan tersebut terlebih dahulu melalui beberapa proses.

Secara ringkasnya, proses rawatan ini bermula dengan prarawatan iaitu proses penyingkiran sampah sarap dan pepejal besar yang terdapat di dalam air kumbahan seperti pasir dan minyak.

Seterusnya, air kumbahan tersebut akan melalui proses rawatan kedua iaitu proses sekunder melalui proses penguraian daripada tindakan biologi, proses pengudaraan dan pemendapan.

Proses terakhir selepas proses rawatan sekunder adalah pemendapan di tangki ‘clarifier’.

Pepejal yang tertinggal dibiarkan mendap ke bawah tangki dan akan dibawa ke ‘sludge dewatering machine’.

Enapcemar ringan yang terapung akan dikumpul untuk rawatan semula dan dikeringkan untuk diguna sebagai baja atau perapi tanah.

Air kumbahan yang telah dirawat (efluen) dan dipastikan selamat akan disalurkan ke dalam sistem pengairan seperti sungai, parit atau laut.

Kesimpulannya, air kumbahan yang telah dirawat dan disingkirkan daripada elemen-elemen najis serta kotoran berdasarkan cara penyucian air mutanajjis yang melebihi dua kolah adalah air mutlak serta suci.

Oleh itu, penggunaan air tersebut boleh digunakan untuk bersuci (taharah) mahupun penggunaan harian.

The post Hukum guna air sisa kumbahan terawat appeared first on Kosmo Digital.