Jas

JAS Kedah bongkar premis cuci bekas bahan kimia terpakai secara haram

Jas

SUNGAI PETANI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual iaitu bekas bahan kimia terpakai secara haram di Kawasan Perindustrian Sungai Petani, di sini semalam.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, premis tersebut disyaki melepaskan efluen yang tidak mematuhi had ditetapkan berdasarkan kesan pada longkang di hadapan premis.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan aktiviti pembungkusan bahan kimia.

“Premis itu menerima bekas-bekas bahan kimia terpakai, membersihkannya dan diisi dengan bahan kimia baharu sebelum dihantar kepada pembeli,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bekas-bekas bahan kimia terpakai merupakan buangan terjadual dengan kod buangan SW 409 berdasarkan Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Sebarang aktiviti penstoran luar tapak atau pemerolehan kembali buangan terjadual (aktiviti pencucian bekas-bekas bahan kimia terpakai) memerlukan kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan kelulusan lesen di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

“Pemerolehan buangan terjadual (aktiviti pencucian bekas-bekas bahan kimia terpakai) secara haram boleh menyebabkan berlakunya pencemaran bahan kimia atau logam berat kepada sumber air,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

The post JAS Kedah bongkar premis cuci bekas bahan kimia terpakai secara haram appeared first on Kosmo Digital.