Jerebu boleh sampai tahap Haze-zilla

Janaan ai 1024x682 1

Janaan ai

Jerebu rentas sempadan mungkin belum kembali menjadi krisis, namun amaran mengenai risiko kemarau dan kebakaran hutan susulan fenomena ‘Godzilla El Nino’ wajar dilihat sebagai isyarat supaya Malaysia tidak menunggu keadaan menjadi buruk sebelum bertindak.

Pengalaman lalu menunjukkan jerebu bukan masalah yang boleh diselesaikan hanya ketika langit mula berkabus dan bacaan pencemaran udara meningkat.

Sebaliknya, punca yang meningkatkan risiko kebakaran perlu ditangani lebih awal, khususnya melibatkan kawasan tanah gambut yang mudah terbakar ketika cuaca kering berpanjangan.

Istilah Haze-zilla yang pernah digunakan Greenpeace Malaysia bagi menggambarkan ancaman jerebu kini mendapat konteks baharu apabila perubahan iklim berpotensi memburukkan lagi keadaan.

Wakil Negara Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun berkata, perubahan iklim berpotensi menjadikan cabaran jerebu yang selama ini dihadapi lebih dahsyat dengan fenomena ‘Godzilla El Nino’.

Katanya, amaran itu penting kerana kesan jerebu bukan sekadar menyebabkan langit berkabus, malah boleh menjejaskan kesihatan awam, persekolahan, produktiviti dan ekonomi.

Justeru, pendekatan terbaik bukan sekadar menyediakan langkah kecemasan, tetapi mengurangkan kebakaran.

“Tanah gambut perlu diberi perhatian kerana kawasan yang terdegradasi lebih mudah terbakar.

“Pemulihan tanah gambut juga penting bukan sahaja mencegah kebakaran, malah menyimpan karbon dan pemeliharaan biodiversiti,” katanya.

Pada masa sama, sistem pemantauan dan pengesanan awal perlu diperkukuh.

Malaysia sudah mengambil langkah kesiapsiagaan melalui penyelarasan antara agensi dan perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan.
Namun, persoalannya ialah sejauh mana langkah berkenaan dapat diterjemahkan kepada tindakan pantas di lapangan sekiranya risiko kebakaran benar-benar meningkat.

Dalam isu jerebu rentas sempadan, Malaysia juga tidak boleh bergantung kepada tindakan dalam negara
semata-mata.

Cadangan penggubalan Akta Udara Bersih yang komprehensif perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh keupayaan undang-undang dalam menangani pencemaran udara, termasuk yang merentas sempadan.

Aspek akauntabiliti juga penting supaya pihak yang menyumbang kepada pencemaran atau amalan penggunaan tanah tidak bertanggungjawab tidak terlepas daripada tindakan.

Sektor korporat turut mempunyai peranan dengan memastikan operasi dan rantaian bekalan mengambil kira risiko terhadap alam sekitar, termasuk kemerosotan tanah dan kebakaran.

Pada peringkat ASEAN, kerjasama perlu diperkukuh kerana asap daripada kebakaran tidak mengenal sempadan dan kesannya turut dirasai masyarakat di negara jiran.

Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan menyediakan kerangka kerjasama, namun jerebu yang berulang menunjukkan keperluan kepada tindakan lebih berkesan dan menyeluruh.

Akhirnya, ‘Godzilla El Nino’ tidak seharusnya menjadi satu lagi amaran yang dilupakan apabila keadaan kembali normal. Ia perlu menjadi pencetus kepada persediaan lebih awal, khususnya dalam melindungi tanah gambut, mengesan kebakaran dan memperkukuh akauntabiliti.

Jika Malaysia benar-benar mahu mengelakkan episod ‘Haze-zilla’ daripada menjadi krisis lebih besar, tindakan perlu bermula sebelum jerebu muncul. Menunggu bukan lagi pilihan kerana kos kelewatan akhirnya ditanggung rakyat dan alam sekitar.

The post Jerebu boleh sampai tahap Haze-zilla appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles