Jerebu Indonesia cemari udara Asia Tenggara

000 c6qd2u8

000 c6qd2u8

JAKARTA: Jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia menyebabkan kualiti udara merosot ke tahap tidak sihat di beberapa kawasan Asia Tenggara, mendorong penutupan sekolah dan amaran pihak berkuasa kepada jutaan penduduk supaya kekal berada di dalam rumah.

Menurut pemantau kualiti udara Switzerland, IQAir, tahap pencemaran berada pada kategori ‘sangat tidak sihat’ hingga ‘berbahaya’ di beberapa kawasan Filipina dan sebahagian besar Borneo, ketika pihak berkuasa meningkatkan tindakan menangani krisis rentas sempadan yang semakin buruk.

Kebakaran hutan merupakan kejadian bermusim di Asia Tenggara, namun keadaan kering berpanjangan dan suhu lebih tinggi akibat fenomena cuaca El Nino meningkatkan risiko kebakaran lebih meluas serta berpanjangan.

Data rasmi menunjukkan jumlah titik panas kebakaran di Indonesia melonjak hampir 10,000 pada Ogos, 10 kali ganda berbanding dua tahun lalu, manakala lebih 200,000 hektar kawasan terbakar setakat tahun ini.

Di Filipina, Quezon City, bandar terbesar dan paling ramai penduduk di wilayah ibu negara, membatalkan kelas bersemuka di sekolah awam pada 1 September susulan keadaan jerebu.

“Orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar untuk tempoh panjang, terutama golongan yang sensitif terhadap pencemaran udara,” menurut Biro Pengurusan Alam Sekitar Filipina menerusi Facebook.

Pihak berkuasa turut menggesa penduduk supaya kekal berada di dalam rumah dan memakai pelitup muka ketika berada di luar.

Sementara di Sarawak, yang berkongsi pulau itu dengan Indonesia dan Brunei, bersiap sedia menutup pejabat serta melaksanakan operasi pembenihan awan susulan keadaan jerebu yang semakin buruk.

Menurut IQAir, ibu negeri Sarawak, Kuching, merekodkan antara tahap kualiti udara terburuk di dunia selama beberapa hari.

Di Indonesia, ribuan anggota bomba dikerahkan di lapangan di Kalimantan, selain pesawat digunakan untuk melakukan operasi pengeboman air dari udara bagi memadam kebakaran, kata Timbalan Kementerian Penguatkuasaan Undang-Undang Alam Sekitar, Rizal Irawan, seperti dipetik agensi berita Antara.

Pencemaran udara turut mencapai tahap berbahaya di wilayah Borneo Indonesia serta beberapa bandar di Pulau Sumatera, sekali gus menjejaskan aktiviti harian dan operasi perniagaan.

Kelas di sekolah dipindahkan secara dalam talian, manakala penduduk mengehadkan tempoh berada di luar rumah.

Kedai dan pemandu perkhidmatan e-hailing turut melaporkan penurunan permintaan apabila lebih ramai penduduk memilih untuk berada di rumah, manakala puluhan penerbangan dibatalkan atau ditangguhkan akibat jarak penglihatan rendah, menurut laporan media tempatan.- BLOOMBERG

The post Jerebu Indonesia cemari udara Asia Tenggara appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles