JPJ arah penganjur RXZ Members sedia platform daftar peserta dalam talian

PETALING JAYA: Penganjur RXZ Members diarah menyediakan platform pendaftaran peserta dalam talian dengan beberapa syarat bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang diutamakan, kata Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kifli Ma Hassan.
Tegasnya, peserta wajib mempunyai lesen memandu, cukai jalan dan insurans motosikal sah, selain melampirkan empat gambar kenderaan didaftarkan, iaitu gambar bahagian depan dan belakang nombor pendaftaran serta sisi kiri dan kanan motosikal.
Menurutnya, penganjur juga perlu melaksanakan pengurusan risiko lebih sistematik sebelum, semasa dan selepas acara diadakan.
“Ini termasuk aspek kelayakan pemandu dan kenderaan, kawalan pergerakan, pelaksanaan penguatkuasaan secara strategik dengan memberi keutamaan kepada kesalahan berisiko tinggi terhadap keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.
“Peserta juga diminta bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam pelaksanaan Travel Time Advisory (TTA) bagi membantu melancarkan aliran trafik dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan sesi libat urus JPJ bersama penganjur RXZ Members di Bahagian Penguat Kuasa Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya, semalam.
Turut hadir pengarah JPJ Pahang, Melaka dan Terengganu, wakil polis Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Alam Sekitar dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Kifli berkata, JPJ turut mengesyorkan pendekatan berperingkat melalui libat urus awal, pendidikan dan kesedaran yang disusuli tindakan penguatkuasaan tegas apabila perlu.
“Kerjasama erat antara penganjur, JPJ, polis dan agensi teknikal berkaitan juga penting bagi memastikan penganjuran acara berlangsung secara teratur, selamat dan bertanggungjawab,” katanya sambil menambah JPJ sentiasa menyokong aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab.
“Pada masa sama, keselamatan awam, pematuhan undang-undang dan perlindungan nyawa pengguna jalan raya akan terus menjadi keutamaan. JPJ juga akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi berkaitan dan penganjur pada masa akan datang.”