Kebakaran hutan di Kalimantan, enam kawasan di Sabah dilanda jerebu
![]()
KOTA KINABALU: Enam kawasan di Sabah hari ini mencatat kualiti udara tahap sederhana setakat 3 petang tadi.
Kawasan terbabit Politeknik Kota Kinabalu (PKK) mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sabah pada bacaan 85.
Difahamkan, bacaan itu meningkat secara berperingkat daripada 77 pada 5 pagi tadi.
Kawasan lain membabitkan Kota Kinabalu yang mencatatkan bacaan IPU 76 pada 3 petang, menunjukkan peningkatan berterusan berbanding bacaan 68 pada awal pagi.
Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan, lokasi lain yang terjejas ialah Kimanis dan Keningau kedua-duanya mencatatkan bacaan IPU 71.
Sandakan pula berada pada bacaan 52, manakala Tawau mencatatkan IPU paling rendah iaitu 57.
Jerebu di Sabah berlaku ekoran peningkatan kegiatan kebakaran hutan dan tanah gambut secara meluas di Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat, Indonesia.
Selain itu, cuaca panas dan kering yang melanda wilayah Borneo ketika ini memburukkan lagi keadaan, menyebabkan api merebak di bawah permukaan tanah gambut dan menghasilkan kepulan asap tebal.
Sehubungan itu, orang ramai terutama golongan berisiko seperti pesakit asma dan kanak-kanak, dinasihatkan supaya mengurangkan kegiatan fizikal di luar rumah, memakai pelitup muka jika perlu serta minum air secukupnya mengelakkan masalah kesihatan sepanjang tempoh cuaca kering ini. – UTUSAN
The post Kebakaran hutan di Kalimantan, enam kawasan di Sabah dilanda jerebu appeared first on Utusan Malaysia.