Kedah cuaca panas 1024x768 1

Kedah adakan solat sunat istisqa mohon hujan

Kedah cuaca panas

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah akan mengadakan program solat sunat istisqa bagi memohon hujan berikutan cuaca panas berpanjangan yang melanda negeri berkenaan, ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan dan Sumber Air serta Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff Zakaria berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Mingguan Exco, hari ini.

“Sekarang ini masih cuaca panas dan tidak ada hujan. Berdasarkan maklumat yang baru saya terima tadi, paras empangan di Bukit Malut yang menjadi tempat utama kita simpan air di sana memang agak kritikal.

“Hari ini ada dibuat program sembahyang sunat istisqa untuk minta tolong dengan Allah supaya hujan. Kita juga akan mengadakan solat istisqa di tempat-tempat lain seperti apa yang diputuskan dalam Mesyuarat Exco sebentar tadi,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Kata beliau, solat sunat itu akan dibuat secara agak besar-besaran di banyak tempat terutama yang tidak menerima hujan.

Sementara itu, Kata Mohamad Yusoff, kerajaan negeri setakat ini tidak bercadang untuk melakukan pembenihan awan kerana paras takungan kebanyakan empangan yang ada di negeri ini masih mencukupi.

“Setakat ini masih belum dicadangkan (pembenihan awan) sebab kos agak tinggi selain (langkah) itu tidak semestinya berjaya. Kadang-kadang datang angin, kita sasar kawasan tadahan hujan tapi (hujan) turun tempat lain,” ujarnya.

Beliau pada masa sama memohon kerjasama daripada seluruh masyarakat supaya berhemah ketika menggunakan air.

“Seperti kita sedia maklum pada musim panas ini ramai yang mandi banyak kali sehari, kemudian pokok-pokok pun kering dan perlu disiram. Itu salah satu daripada sebab yang menyebabkan air jadi berkurangan.

“Seperti yang saya maklum sebelum ini, kadar pengeluaran air ketika ini memang sudah lebih daripada kapasiti sebenar. Kalau ikut kapasiti 35 loji rawatan air merawat 1,452 juta liter sehari tetapi pengeluaran setakat ini kita tekan sampai 1,600 juta liter sehari,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

The post Kedah adakan solat sunat istisqa mohon hujan appeared first on Kosmo Digital.