Img 20240120 151004 186 1024x682 1

Kenangan AJL 1991 segar di ingatan Azul Olan

Img 20240120 151004 186

MELAKA: Walaupun sudah hampir 33 tahun berlalu, kenangan beraksi sebagai finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) 1991 menerusi lagu Cinta Bandar Tasik Selatan masih segar dalam ingatan bekas pemain gitar kumpulan rock Olan, Zulkifli Abdul Hamid, 57.

Zulkifli atau dahulunya lebih popular dikenali dengan nama Azul berkata, bidang seni kekal menjadi malar segar dalam dirinya, meskipun telah meninggalkan dunia itu dan bekerja sebagai pekerja pembersihan di SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) sejak 2005.

Mengakui tidak mudah bertukar kerjaya pada awalnya, keputusan itu tidak pernah disesali yang mana kini dia gembira berkhidmat sebagai penjaga stor mesin rumput.

“Memanglah berbeza ketika menjadi anak seni dalam dunia penuh glamor dengan bekerja sebagai pekerja pembersihan. Tetapi setiap pekerjaan ada sumbangannya jadi kita kena menghargai.

“Alhamdulillah saya mampu menunaikan umrah tahun lalu melalui pekerjaan ini. Dulu-dulu ada juga suara-suara yang seperti memperlekehkan keputusan saya, tapi saya tidak ambil hati, biasalah itu memang sifat manusia,” katanya ketika ditemui di Pejabat SWM Environment, Cheng di sini, hari ini.

Tambah Zulkifli, dia membuat keputusan meninggalkan Olan pada 1993 kerana berasakan sudah tidak sehaluan dengan kumpulan itu.

Jelasnya, minatnya untuk memetik gitar tidak pernah padam tetapi menjadi terbatas selepas diserang penyakit saraf.

“Kenangan bersama Olan terutama ketika beraksi di AJL masih segar dalam ingatan. Bila dengar lagu Cinta Bandar Tasik Selatan dimainkan di mana-mana, saya tersenyum. Tetapi tiada yang lebih menggembirakan berbanding pekerjaan saya kini, memegang mesin rumput,” jelasnya. – UTUSAN

The post Kenangan AJL 1991 segar di ingatan Azul Olan appeared first on Utusan Malaysia.