Kerajaan negeri arah henti aktiviti penambakan sisa buangan dari Singapura
![]()
PONTIAN – Kerajaan negeri mengarahkan tindakan segera bagi menghentikan aktiviti penambakan tanah menggunakan sisa buangan yang dipercayai dibawa masuk dari Singapura di beberapa lokasi di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Md. Israk Abdullah berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan isu pembuangan bahan binaan atau batu-batuan melibatkan Pejabat Daerah Pontian, Pejabat Tanah, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta pihak berkuasa tempatan.
Menurut beliau, tindakan bersepadu perlu diambil susulan aduan penduduk berhubung aktiviti penambakan tanah yang didakwa dilakukan secara tidak terkawal di beberapa kawasan khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup.
“Antara perkara yang dipersetujui ialah pemilik tanah hendaklah menyediakan kemudahan yang sesuai bagi tujuan pelupusan sisa selaras dengan arahan dan keperluan SWCorp.
“SWCorp juga boleh mengambil tindakan lanjut di bawah Akta 672 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 sekiranya berlaku ketidakpatuhan, termasuk berkaitan pembuangan sisa pepejal terkawal di tempat yang tidak dibenarkan mengikut Seksyen 71(1) akta yang sama,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan di lokasi penambakan sisa buangan dari Singapura di Kampung Sungai Senai, Belokok, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor berkata, Pejabat Tanah turut diminta mengambil tindakan mengikut Kanun Tanah Negara sekiranya didapati penggunaan tanah berkenaan tidak mematuhi zon, perancangan guna tanah atau melanggar syarat nyata tanah.
“Selain itu, kita mahu tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti penambakan yang tidak terkawal, termasuk kerja tanah yang dijalankan tanpa kelulusan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
“Pendekatan ini perlu dibuat secara bersama membabitkan SWCorp, Pejabat Tanah dan pihak berkuasa tempatan supaya aktiviti penambakan yang tidak terkawal ini dapat dihentikan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Farid Hassan berkata, pihaknya mengenal pasti lebih lima lokasi yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penambakan berkenaan di sekitar Kukup.
Katanya, tindakan susulan akan dibuat berdasarkan hasil perbincangan antara jabatan, termasuk meneliti aspek pelupusan sisa, syarat penggunaan tanah dan keperluan kelulusan kerja-kerja tanah.
“Buat masa ini kita mengenal pasti lebih lima kawasan dan kita akan melihat keseluruhan aspek berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil.
“Kita akan menggunakan peruntukan undang-undang yang bersesuaian daripada SWCorp, Pejabat Tanah dan pihak berkuasa tempatan bagi mengawal aktiviti penambakan yang tidak terkawal ini,” katanya.
Beliau berkata, antara kawasan yang dikenal pasti termasuk Jalan Batu 57 dan Sungai Karang, selain beberapa lokasi lain.
Mohd. Farid berkata, pihaknya juga masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti pemilik tanah yang terlibat sebelum sebarang tindakan susulan dibuat.
Dalam pada itu, Md. Israk berkata, isu berkenaan akan dibawa kepada Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Johor untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.
“Walaupun tanah berkenaan adalah tanah persendirian, pemilik masih tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya aktiviti yang dijalankan melanggar syarat atau menimbulkan risiko kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Kita mahu kepentingan penduduk diberi keutamaan dan tindakan penguatkuasaan dibuat secara menyeluruh supaya isu ini tidak berlarutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan negeri arah henti aktiviti penambakan sisa buangan dari Singapura appeared first on Kosmo Digital.