Nr ree pahang 1024x682 1

Kerajaan Pahang lulus projek NR-REE seluas 220 hektar di Lipis

Nr ree pahang

KUANTAN – Kerajaan negeri telah meluluskan cadangan Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) seluas 220 hektar di Sungai Wang, Mukim Hulu Jelai di Lipis.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelulusan terbabit diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-13/2024 pada 3 April lalu.

Katanya, pemilihan kawasan terbabit adalah susulan lawatan kerja ke tapak Projek Perintis NR-REE di Mukim Kenering, Hulu Perak, Perak pada 25 September tahun lalu.

“Lawatan tersebut bertujuan melihat serta mempelajari teknik perlombongan NR-REE yang dilakukan tanpa menjejaskan alam sekitar.

“Susulan itu kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dijadikan Projek Perintis NR-REE ini,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy menjawab pertanyaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) berkaitan kesediaan kerajaan untuk perlombongan bahan nadir (REE) di Pahang sebagai sumber pendapatan negeri.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri kini dalam peringkat pemurnian fasa akhir Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE negeri Pahang yang diterajui oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang (PTG) dan Pahang Mining Corporation (PMC) sebelum diangkat untuk pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa negeri. – KOSMO! ONLINE

The post Kerajaan Pahang lulus projek NR-REE seluas 220 hektar di Lipis appeared first on Kosmo Digital.