Whatsapp image 2024 02 19 at 12. 16. 45 1024x682 1

Kerajaan peruntuk RM12 juta tangani isu kesihatan mental

Whatsapp image 2024 02 19 at 12. 16. 45

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM12 juta bagi pelaksanaan program khas dikenali sebagai Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan (OPFA).

Program yang bakal memanfaatkan 10,000 orang itu, membolehkan peserta memberi pertolongan awal kepada rakan sekerja yang mengalami tekanan psikologi.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, penyertaan program yang dibangunkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) itu terbuka kepada pekerja di sektor awam dan swasta.

“Program ini antara komitmen kami tentang isu keselamatan dan kesihatan pekerja bukan sahaja fizikal malah mental juga.

“Para peserta akan dilatih untuk mengenali tanda-tanda awal tekanan psikologi dan cra untuk membantu rakan sekerja berhadapan dengan masalah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-24, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (COSH 2024), di sini, hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan bahawa kesihatan mental di tempat kerja perlu ditekankan kerana ia berkait rapat dengan produktiviti syarikat.

“Sejak beberapa tahun lepas, permintaan terhadap latihan berkaitan kesihatan mental di tempat kerja meningkat ketara.

“Dengan adanya kemahiran yang diperoleh daripada program latihan OPFA ini, ia akan memanfaatkan majikan kerana membantu meningkatkan produktiviti pekerja sekali gus mengurangkan isu ketidakhadiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Kerajaan peruntuk RM12 juta tangani isu kesihatan mental appeared first on Kosmo Digital.