Whatsapp image 2024 01 12 at 12. 33. 20 1024x612 1

Kilang pembuatan NEV berteknologi hijau pertama dibangunkan di Rembau

Whatsapp image 2024 01 12 at 12. 33. 20

REMBAU: Sebuah kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) berteknologi hijau pertama di negara ini telah mula dibangunkan di Kawasan Perindustrian Chembong, di sini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaan kilang di atas sebidang tanah seluas kira-kira 30 hektar itu akan menggunakan sistem mesra alam iaitu menerusi Kaedah Buangan Air Sifar selain tanpa pencemaran air dan bunyi serta semua bahan buangan pepejal akan dihantar untuk dikitar semula. 

“Ia seiring dengan pendirian kerajaan untuk memupuk ekonomi hijau menjelang tahun 2030 dengan menggalakkan industri rendah karbon, penyahkarbonan, ekonomi pusingan dan peralihan tenaga bersih. 

“Pihak syarikat Careplus Group Bhd. telah mengambil langkah proaktif dengan melakukan permohonan Sijil MyHijau iaitu salah satu Skim Pengiktirafan Hijau rasmi Malaysia yang disahkan oleh kerajaan untuk produk yang diperakui memenuhi piawaian alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Kilang Pembuatan dan Pemasangan Berteknologi Hijau yang pertama bagi NEV di Malaysia di Chembong, di sini hari ini.

Aminuddin dalam pada itu berkata, pembinaan kilang itu melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM840 juta secara berfasa menerusi syarikat NexV Manufacturing Sdn. Bhd. iaitu syarikat usahasama Kumpulan Go Auto dan Careplus Group Bhd.

“Fasa pertama projek ini akan melibatkan pembangunan Assembly Plant yang akan dimulakan pada suku pertama tahun 2024. Fasa kedua dan ketiga akan bermula masing-masing pada tahun 2026 dan 2028. 

“Saya yakin, proses pembinaan kilang ini akan memberikan isyarat kepada semua sektor rantaian yang berkaitan dengan pembuatan kereta EV bahawa Negeri Sembilan adalah sebuah lokasi alternatif untuk mana-mana pihak yang ingin melabur di Malaysia.

“Pemilihan lokasi di negeri ini memberi makna yang cukup besar kepada kerajaan negeri kerana dengan bermulanya NexV bertapak, ia bakal mewujudkan satu gelombang ekosistem baharu di Negeri Sembilan terutama dalam industri NEV,” katanya.-UTUSAN.

 

The post Kilang pembuatan NEV berteknologi hijau pertama dibangunkan di Rembau appeared first on Utusan Malaysia.