Whatsapp image 2024 03 25 at 15. 44. 17 1

Kompaun RM2,000 lakukan pembakaran terbuka

Whatsapp image 2024 03 25 at 15. 44. 17 1

ALOR SETAR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun sebanyak RM2,000 bagi setiap longgokan kepada mana-mana individu yang didapati melakukan pembakaran terbuka pada musim panas dan kering ini.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya akan mula bertindak lebih tegas dengan mengenakan kompaun, berbanding hanya memberi nasihat dan risalah sekiranya membabitkan kawasan kampung sebelum ini.

“Sekiranya kebakaran didapati merebak ke kawasan lebih besar, pihaknya akan mengesyorkan untuk membuka kertas siasatan dengan denda maksimum RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan rekod, katanya, JAS negeri menerima sebanyak 117 aduan pembakaran terbuka yang kebanyakannya berlaku di kawasan kediaman seperti taman-taman perumahan, kampung serta komersial dari 1 Januari hingga kelmarin.

Sementara itu, katanya, JAS bekerjasama dengan ASEAN Specialised Meterological Centre (ASMC) yang membekalkan maklumat titik panas (hot spot) pada setiap hari.

“Titik panas merupakan lokasi berlakunya pembakaran terbuka berintensiti tinggi yang dikesan oleh satelit. Kewujudan titik panas akibat daripada pembakaran terbuka boleh memberi kesan negatif kepada udara dan seterusnya meningkatkan nilai Indeks Pencemaran Udara (IPU) di lokasi kebakaran,” ujarnya.

Tambahnya, mengikut perundangan, pihak yang menyebabkan pembakaran terbuka boleh disabitkan hukuman mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, kompaun sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan,” katanya.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui surat bertarikh 16 Februari lalu telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) susulan cuaca panas dan kering yang sering melanda negara bertujuan mencegah pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu setempat serta menjejaskan kualiti udara. – KOSMO! ONLINE

The post Kompaun RM2,000 lakukan pembakaran terbuka appeared first on Kosmo Digital.