Bizh pilihan bhfield image listing featured v2. Var 1711524480

Malaysia antara pilihan utama firma ASEAN kembangkan perniagaan – HSBC

hazwanfaisal@mediaprima.com.my

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi antara destinasi pilihan utama syarikat dalam kalangan enam negara ASEAN untuk melabur mengembangkan perniagaan mereka.

Ketua Perbankan Komersil HSBC Malaysia, Karel Avni Doshi, berkata perkara itu didedahkan hasil tinjauan dibuat pihaknya pada bulan lalu membabitkan 600 perniagaan di enam negara ASEAN.

Katanya, 59 peratus responden memilih untuk mengembangkan perniagaan di ASEAN sebagai keutamaan teratas yang menyaksikan 95 peratus memilih Asia Pasifik sebagai destinasi utama bagi tujuan pengembangan itu.

“Daripada jumlah ini, 80 peratus memilih Singapura diikuti Malaysia (77 peratus) dan Indonesia (64 peratus) sebagai pasaran untuk difokuskan bagi perniagaan mereka untuk tahun ini,” katanya pada pelancaran ASEAN Growth Fund baharu di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq.

HSBC menjalankan tinjauan dalam talian dari 14 Februari hingga 27 Februari lalu membabitkan 600 perniagaan yang berpangkalan di enam pasaran ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Responden tinjauan adalah pembuat keputusan utama syarikat-syarikat dengan perolehan tahunan sekurang-kurangnya AS$50 juta yang telah menjalankan perniagaan di ASEAN.

Sementara itu Omar berkata, pelancaran dana itu adalah membabitkan enam negara dengan pertumbuhan terpantas di ASEAN, untuk membantu meningkatkan penggiat platform dalam ekonomi digital yang berkembang pesat di rantau ini.

“Untuk membantu penggiat platform digital rantau ini mencapai skala ekonomi, mengembangkan portfolio aset mereka dan melangkah maju di sepanjang kitaran hayat korporat, HSBC memperuntukkan kemudahan kredit sebanyak AS$1 bilion melalui dana pinjaman khusus ini.

“Ekonomi digital Asia Tenggara adalah antara yang paling pesat berkembang di dunia – bernilai AS$218 bilion pada 2023 dan dijangka mencecah AS$600 bilion menjelang akhir dekad ini – pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 16 peratus.

“Seperti kebanyakan perniagaan antarabangsa yang lain, kami teruja dengan ekonomi digital ASEAN yang berkembang pesat,” katanya.

Beliau berkata, dengan populasi bekerja yang dibesarkan secara digital, yang semakin bertambah, dan bersedia untuk menggunakan lebih banyak barangan dan perkhidmatan – terutamanya dalam e-dagang – ASEAN berpotensi besar untuk pertumbuhan.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan syarikat digital ketika mereka berkembang di rantau ini dan seterusnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd