Rosli dermawan 1024x682 1

Malaysia bersedia jana elektrik guna kuasa nuklear

Rosli dermawan

BANGI: Malaysia perlu bersedia menggunakan sepenuhnya kuasa nuklear sebagai sumber utama penjanaan tenaga elektrik seluruh negara menjelang tahun 2050.

Perkara berkenaan diakui sendiri oleh Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan yang menyifatkan bahawa negara tidak dapat mengelak penggunaan tersebut.

“Ia memang pun ada dalam pertimbangan pihak kerajaan iaitu pada 2050 kelak, kita tiada pilihan untuk capai pelepasan sifar karbon sebelum tahun itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara agensi berkenaan dengan Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd. (AFES), di sini hari ini.

Rancangan penggunaan nuklear sebagai sumber tenaga diperbaharui (RE) dibatalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2018 atas alasan risiko bahaya sekali gus menyaksikan Malaysia masih lagi bergantung penuh kepada minyak dan arang batu.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, meskipun isu tenaga nuklear tidak disebut spesifik dalam Dasar Tenaga Nuklear Negara 2030, tetapi kerajaan kini mula mempertimbangkan semula.

“Saya tahu ada orang awam bimbang dengan bahan ini kerana berita kebocoran radiasi di loji Fukushima, Jepun pada 2011, namun zaman sudah berubah amat pantas,” jelasnya.

Justeru, beliau membayangkan dalam dua atau tiga tahun nanti, polisi yang amat jelas berhubung bahan itu sebagai RE untuk tenaga elektrik dapat dibentangkan kerajaan. – UTUSAN

 

The post Malaysia bersedia jana elektrik guna kuasa nuklear appeared first on Utusan Malaysia.