Saifuddin china beijing 1024x682 1

Malaysia-China lanjut perjanjian kerjasama banteras jenayah rentas sempadan

Saifuddin china beijing

PUTRAJAYA – Malaysia dan China melaksanakan pemeteraian pelanjutan perjanjian bagi kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan antara Malaysia dengan Republik berkenaan berkuat kuasa sehingga 2034.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia antara pemuafakatan keputusan berimpak tinggi bersama rakan sejawatnya, Wang Xiaohong pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Republik Rakyat China (RRC) kali kelima Mengenai Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan (JWG ke-5) berlangsung di Beijing, semalam.

Katanya, perjanjian ini merupakan dokumen induk yang menyenaraikan lebih 15 bidang kerjasama antara kedua-dua negara seperti pencegahan aktiviti keganasan dan ekstremisme, perjudian haram, jenayah siber, penyeludupan manusia dan bahan terlarang serta jenayah ke atas alam sekitar.

Antara keputusan lain, beliau berkata, kedua-dua negara turut berkomitmen untuk menerokai dan menerajui kerjasama ASEAN + China + Gulf Cooperation Council (GCC) dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sosial sesuai dengan tiga tonggak utama ASEAN.

“Malaysia dan China juga menyatakan persefahaman untuk mendalami secara saintifik cadangan Kerangka Keselamatan Nasional yang diunjurkan memberi kelebihan bukan hanya kepada kedua-dua negara malah turut akan memanfaatkan negara serantau dan global.

“Mesyuarat turut memuafakatkan keputusan, kesepakatan untuk bersegera memuktamadkan beberapa dokumen perjanjian dan kerjasama baharu antara kedua-dua negara seperti dalam perihal keimigresenan serta ekstradisi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan mesyuarat berkenaan turut memperaku kerjasama erat sedia ada antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara dan berikrar untuk meningkatkannya ke tahap yang lebih intensif selaras hubungan komprehensif dan strategik Malaysia-RRC.

“Hal ini termasuklah perkongsian maklumat, pembangunan kapasiti dan pertukaran penempatan pegawai,” ujarnya.

Pada akhir mesyuarat itu, kedua-dua menteri mengulangi komitmen untuk meningkatkan hubungan akrab dalam konteks keselamatan dan ketenteraman awam di kedua-dua negara, serantau dan global.

Mesyuarat tahunan ini merupakan manifestasi hubungan akrab Malaysia dengan RRC dalam konteks keselamatan dan ketenteraman awam.

JWG ke-5 merupakan mekanisme perbincangan di bawah payungan Perjanjian Bagi Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan Antara Malaysia dengan RRC yang ditandatangani pada 2012. – KOSMO! ONLINE

The post Malaysia-China lanjut perjanjian kerjasama banteras jenayah rentas sempadan appeared first on Kosmo Digital.