Mosti 1 1024x683 1

MOSTI sasar jualan RM400 juta

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan nilai jualan hampir RM400 juta bagi lima produk bioteknologi oleh syarikat berstatus BioNexus dan Pemecut Berasaskan Bio (BBA) dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, pelancaran produk-produk itu merupakan suntikan yang memberangsangkan dan berharap banyak lagi produk seum­pamanya akan memasuki pasaran negara bagi merancakkan lagi ekonomi negara.

“Produk-produk yang dilancarkan hari ini diyakini boleh merancakkan ekosistem bioteknologi dalam negara kita.

“Kita berharap lebih banyak syarikat-syarikat akan mengambil pendekatan ini untuk bekerjasama dengan Malaysian Bioeconomy Development Sdn. Bhd. (Bioeconomy Corporation) dan menggunakan Pameran dan Persidangan Bioekonomi Kebangsaan 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) sebagai platform untuk memperluas akses ke pasaran tempatan ataupun antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pertukaran dokumen dan pelancaran produk oleh syarikat berstatus BBA di NBiOSHOWCASE 2024 di Pusat Daga­ngan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Bio­economy Corporation, Datuk Dr. Lee Boon Chye dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Khairul Fidzal Abdul Razak.

Lima produk yang dilancarkan itu ialah baja bio daripada hasil sampingan pembuatan pulpa oleh Nextgreen Global Bhd, jus kelapa isotonik prebiotik dan probiotik oleh Culvita, minuman bijirin de­ngan ubi keledek ungu dan beri biru serta serbuk kering beku kacang soya fermentasi oleh GoodMorning Global.

Selain itu, turut dilancarkan ialah tablet yang mengandungi ekstrak tiga jenis cendawan perubatan oleh Ganofarm.

Mosti 2 1024x683 1
Lih kang (tengah) diberi penerangan mengenai produk berasaskan bba yang diyakini boleh membawa pulangan hampir rm400 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang di wtc, kuala lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Lih Kang berkata, pihaknya yakin negara sedang berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0), iaitu membangunkan 30 peratus syarikat berstatus BioNexus di pe­ringkat global dan 70 peratus lagi di peringkat tempatan.

Katanya, melalui sokongan padu dari MOSTI dengan kerjasama Bioeconomy Corporation, usaha-usaha akan diperhebatkan lagi untuk menjayakan kerjasama quintuple helix dalam kalangan penggiat industri bioteknologi.

“Oleh itu, saya menggesa syarikat-syarikat bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia untuk bekerjasama melalui pendekatan ini bagi memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global serta meningkatkan kapasiti teknologi tempatan.

“Langkah itu adalah usaha untuk menempatkan Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi teratas dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang tahun 2025,” ujarnya.

Beliau berkata, jalinan kerjasama dan pelancaran produk yang disaksikan itu memenuhi aspirasi MOSTI untuk ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi, Mengarusperdanakan Inovasi’.

“Semestinya kerjasama dan produk yang diketengahkan ini akan memberi impak yang sangat besar terhadap kelestarian alam sekitar, pembangunan ekonomi kitaran, pengkomersialan bio­teknologi, penjagaan kesihatan serta pemakanan yang berkualiti tinggi di Malaysia.

“MOSTI akan sentiasa menyokong inisiatif seperti ini yang mendorong Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi dan menggalakkan pertumbuhan ‘Bioekonomi Untuk Semua’,” tambahnya.

Sementara itu, Mohd. Khairul Fidzal berkata, antara Januari hingga Mei 2024, syarikat yang diluluskan di bawah program BBA, berstatus BioNexus dan syarikat berimpak tinggi telah menjana jumlah pendapatan bernilai RM1.5 bilion.

“Ini membuktikan kemampuan tinggi syarikat bioteknologi Malaysia dalam merealisasikan pembangunan ekonomi melalui pasaran tempatan dan global.

“Melalui sokongan MOSTI, Bioeconomy Corporation akan terus mengambil pendekatan yang proaktif untuk membantu lebih banyak syarikat bioteknologi me­nembusi pasaran yang lebih luas dan mencapai matlamat sumbangan pendapatan sebanyak RM2 bi­lion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang akhir tahun 2024,” katanya.

 

 

The post MOSTI sasar jualan RM400 juta appeared first on Kosmo Digital.