000 33bh9r6

New Zealand haram bahan kimia kekal dalam produk kosmetik

000 33bh9r6

WELLINGTON: New Zealand bakal menjadi salah sebuah negara terawal yang mengharamkan bahan kimia kekal berbahaya dalam produk kosmetik.

Jurucakap Pihak Berkuasa Perlindungan Alam Sekitar New Zealand, Shaun Presow berkata, pihaknya akan mengharamkan bahan tahan lama seperti perfluoroalkyl dan polyfluoroalkyl dikenali sebagai PFAS atau bahan kimia kekal menjelang 2027.

Presow berkata, New Zealand adalah antara negara yang pertama mengharamkan BAHAN berkenaan daripada kosmetik.

“Kami adalah antara negara pertama yang melakukannya, kami belum melihat banyak negara lain lagi melaksanakannya.

“Kebimbangan kami ialah bahan kimia itu tidak rosak, sama ada dalam badan atau persekitaran. Apabila ia terkumpul, ia dikaitkan dengan pelbagai kesan berbahaya seperti beberapa kanser dan masalah hormon, kata Presow.

Ditemui dalam item seperti pengilat kuku, krim pencukur, asas, gincu dan maskara, PFAS menjadikan produk kosmetik lebih tahan lama serta kalis air.

Bahan itu hampir tidak boleh dihancurkan tetapi boleh terkumpul di dalam badan dari masa ke semasa.

Kajian mengaitkannya dengan kanser, ketidaksuburan dan kerosakan alam sekitar.

Industri kosmetik di New Zealand mempunyai masa sehingga 31 Disember 2026 untuk menghentikan penggunaan bahan kimia itu secara berperingkat.

New Zealand juga akan mengharamkan penggunaan PFAS dalam buih pemadam kebakaran mulai Disember 2025.

Dikatakan beberapa negeri Amerika Syarikat menerima pakai dasar melindungi pengguna daripada PFAS dan Kesatuan Eropah sedang mempertimbangkan pengharamannya. -AFP

 

​

The post New Zealand haram bahan kimia kekal dalam produk kosmetik appeared first on Utusan Malaysia.