Whatsapp image 2024 05 28 at 3. 56. 51 pm 1024x689 1

Northport, MBDK laksana projek pertanian menegak di Klang

Whatsapp image 2024 05 28 at 3. 56. 51 pm

PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengumumkan inisiatif kerjasama bagi memupuk pertanian bandar melalui projek pertanian menegak (vertical farming) berskala besar.

Inisiatif dinamakan Taman Komuniti Kitaran Kehidupan (Circle of Life Community Garden) bertujuan mengembangkan konsep pertanian bandar di Klang, menggalakkan penglibatan masyarakat dan menyepadukan prinsip ekonomi pekeliling.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, pihaknya menjalankan projek pertanian menegak di premis mereka bermula Ogos tahun lalu yang kemudiannya diperluaskan di sekolah sekitar Klang sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kelestarian alam sekitar dalam kalangan murid sambil menggalakkan pembangunan masyarakat setempat.

“Fasa seterusnya adalah kerjasama dengan majlis bandaran yang merupakan projek berskala besar serta memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti setempat dengan bantuan pemain-pemain industri pelabuhan dan logistik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar MBDK, Datin Paduka TPr. Noraini Roslan berkata, projek inovatif dimulakan oleh Northport merupakan inisiatif yang baik kerana ia menggabungkan kelestarian alam sekitar dan penglibatan komuniti bagi membangunkan ekosistem khususnya di Klang.

Pertanian menegak adalah sistem pertanian yang inovatif iaitu tanaman ditanam secara lapisan dan disusun secara menegak. Kaedah ini membolehkan penggunaan sumber yang cekap dengan pemantauan dan penggunaan air yang minimum.

Selain itu, ia memerlukan kawasan tanah yang lebih kecil berbanding kaedah pertanian tradisional, menjadikannya mudah dilaksanakan di pelbagai lokasi,
termasuk kawasan bandar dan tapak perindustrian. – KOSMO! ONLINE

The post Northport, MBDK laksana projek pertanian menegak di Klang appeared first on Kosmo Digital.