Pantau pembakaran terbuka di Johan Setia
![]()
SHAH ALAM – Kegiatan pembakaran terbuka antara perkara yang dipantau susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johan Setia yang kembali mencatatkan tahap tidak sihat sejak kebelakangan ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan mengambil langkah sewajarnya berdasarkan nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani keadaan jerebu.
Menurut beliau, KKM menjadi antara entiti penting dalam menentukan tindakan susulan sekiranya bacaan IPU mencecah paras 100.
“Nampaknya dua tiga hari ini agak buruk dari segi IPU. Kita akan mengambil langkah-langkah sebagaimana yang dinasihatkan Jabatan Meteorologi dan Jabatan Kesihatan.
“Sekiranya IPU sudah mencecah 100, kita akan buat tindakan seterusnya dalam menangani hal jerebu,” katanya.
Mengulas faktor Johan Setia yang sering merekodkan bacaan IPU tinggi, Amirudin berkata, faktor kedudukan kawasan berkenaan selain kemungkinan berlaku insiden pembakaran antara perkara yang perlu dipantau.
“Selain kedudukan lokasi dan sebagainya, ada kemungkinan insiden pembakaran. Dari dulu tempat itu memang begitu, tetapi situasinya tidak seburuk ketika kita terpaksa mengisytiharkan darurat jerebu sebelum ini.
“Bagaimanapun, kita pantau dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Johan Setia menjadi satu-satunya kawasan di Semenanjung yang merekodkan tahap tidak sihat dengan bacaan IPU 153. – KOSMO! ONLINE
The post Pantau pembakaran terbuka di Johan Setia appeared first on Kosmo Digital.