Whatsapp image 2023 12 23 at 12. 52. 55 pmsss

Penerapan ESG dalam pembangunan kampus lestari

Whatsapp image 2023 12 23 at 12. 52. 55 pmsss

Whatsapp image 2023 12 23 at 12. 52. 55 pmsss

UNIVERSITI sebagai peneraju ilmu memainkan peranan penting bagi menerapkan pendidikan pembangunan lestari dalam kalangan warga universiti dan masyarakat selari Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang ingin dicapai menjelang 2030.

Sebagai sebuah universiti teknologi, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang merupakan salah satu universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menyasarkan pendekatan kampus lestari dengan melaksanakan pelbagai inisiatif khusus bagi menghasilkan ekosistem hijau yang kondusif seiring hasrat negara mencapai Agenda 2030.

Hal ini dilaksanakan dengan memperkukuh tindakan mencapai 17 SDG bagi menjadi negara mampan dan mengimbangi pertumbuhan pembangunan serta aspek sosial, alam sekitar, governan atau tata kelola dan ekonomi (ESG).

Pelan Kelestarian (Blueprint) menyaksikan komitmen UMPSA kepada program penjimatan tenaga, penerokaan tenaga terbaharu, pengurusan sisa pepejal lebih cekap dan mencipta dasar yang mendokong usaha sejagat mengenai SDG.

Dalam kehidupan seharian, konsep ESG memainkan peranan penting bagi membentuk perilaku dan operasi dalam kehidupan individu serta organisasi.

Ini merangkumi pemeliharaan alam sekitar, pertimbangan sosial dan sokongan terhadap organisasi dengan standard etika yang tinggi.

Sebagai contoh, seseorang yang mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan harian mereka secara tidak langsung menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan mendorong tanggung jawab sosial dan tadbir urus beretika.

Secara keseluruhannya, mengamalkan prinsip ESG bukan hanya tentang pematuhan, tetapi juga membawa kesan positif kepada persekitaran, masyarakat dan struktur tadbir urus.

Dengan kesedaran yang berkembang, kepentingan ESG akan terus mempengaruhi pembuatan keputusan di semua peringkat.

Di UMPSA, agenda kelestarian bermula sejak 2015 lagi dengan amalan dalam kampus termasuklah inisiatif pengasingan sisa makanan, kitar semula sampah, kempen hijau dan sebagainya.

UMPSA terus mengorak langkah mewujudkan pelbagai inisiatif lebih berimpak, bagi memastikan universiti ini terus memenuhi dan menyahut agenda telah digariskan kerajaan.

Sebagai contoh, pemasangan solar di universiti ini melibatkan tiga kaedah iaitu pemasangan di atas bumbung bangunan, pemasangan di atas pakir kenderaan dan pemasangan solar di atas permukaan tasik.

Pada tahun ini, projek solar terapung menjadikan UMPSA sebagai universiti awam pertama di negara ini yang mempunyai panel solar terapung berkapasiti 159kWp untuk penjanaan elektrik yang dijangka menjana sekurangnya 197,319kWj tenaga setahun.

Sementara itu, pemasangan solar 3.58MWp dijangka dapat mengurangkan penghasilan karbon dioksida (CO2) di dalam Kampus UMPSA Pekan sebanyak 47 peratus bersamaan penjimatan bil elektrik sehingga RM600,000 setahun.

Hasil pencapaian ini menjadikan universiti lebih fokus dalam usaha kelestarian. Sebagai contoh, UMPSA turut terlibat dalam audit Low Carbon City Challenge 2030 (LCC 2030). Ia menyasarkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT)/ agensi yang menyertai dapat mengurangkan keamatan pelepasan GHG (gas rumah hijau) hingga 45 peratus menjelang 2030.

Matlamat itu juga termasuk penubuhan 200 Zon Rendah Karbon dan 1,000 Rakan Kongsi Rendah Karbon menjelang 2030 dan menyahut seruan kerajaan Malaysia bebas karbon pada tahun 2050.

UMPSA juga diiktiraf dunia apabila tersenarai di kedudukan 565 universiti terbaik dunia daripada 1,403 universiti seluruh dunia melalui penilaian QS Sustainability bagi penilaian tahun 2024, malah UMPSA turut tersenarai di kedudukan 68 terbaik dunia daripada 1,183 universiti dari seluruh dunia.

Untuk membudayakan amalan lestari bukanlah sesuatu yang mudah pada awalnya. Tambahan pula apabila sebilangan kita selesa menggunakan segala fasiliti yang ada tanpa perlu memikirkan kos terpaksa ditanggung.

Justeru, UMPSA melaksanakan pelbagai kempen melalui pelbagai medium antaranya melalui Jawatankuasa Kelestarian Kampus, Jawatankuasa Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) mahupun melalui inisiatif yang digariskan di dalam Pelan Strategik Universiti 2021-2025.

Universiti ini turut melaksanakan pelbagai aktiviti kelestarian dengan komuniti seperti pemasangan sistem solar di kawasan kampung dan sekolah selain memberikan pendedahan kepada mereka mengenai cara penyelenggaraan peralatan solar dan sebagainya.

Program-program seperti penanaman pokok dan pembersihan pantai melalui aktiviti sukarelawan universiti dengan pelbagai agensi dan syarikat juga menjadi antara faktor yang menperkukuhkan budaya kelestarian.

Dalam aspek pembuatan dasar pula, UMPSA terlibat dengan Malaysian Sustainable University Campus Network (MYSUN) dalam mempromosikan kampus universiti Malaysia sebagai ‘makmal hidup’ untuk kelestarian dan kecekapan tenaga yang menyasarkan pengukuhan kapasiti manusia dalam kemampanan dan kecekapan tenaga kampus universiti di Malaysia.

UMPSA telah menanam hampir 10,000 pokok daripada pelbagai spesies. Universiti juga menggazetkan kawasan-kawasan tertentu khusus untuk aktiviti penghijauan.

Selain itu, melalui kurikulum pendidikan dan projek komuniti, UMPSA membentuk graduan yang bukan hanya berpengetahuan dalam ESG, tetapi juga bertanggungjawab yang dapat membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Dengan cara ini, universiti memainkan peranan utama dalam mencapai keseimbangan antara aspek sosial, alam sekitar, dan ekonomi untuk pembangunan yang mampan dan seimbang.

PROF. DATUK TS DR. YUSERRIE ZAINUDDIN merupakan Naib Canselor UMPSA.

The post Penerapan ESG dalam pembangunan kampus lestari appeared first on Kosmo Digital.