Whatsapp image 2024 02 21 at 1. 05. 23 pm 1024x768 1

Potong rantai besi, kilang ingkar arahan beroperasi secara haram

Whatsapp image 2024 02 21 at 1. 05. 23 pm

SUNGAI PETANI – Pengendali sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, di sini didapati ingkar arahan apabila beroperasi secara haram dengan memotong rantai kunci susulan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK), sebelum ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, perbuatan kilang yang melanggar arahan untuk tidak beroperasi itu dikesan ketika pihaknya menjalankan pemantauan ke atas premis di kawasan perindustrian tersebut pada semalam.

“Hasil siasatan mendapati premis yang membuat aktiviti salutan produk logam itu telah mengganggu POK dengan memotong rantai kunci bagi membolehkannya beroperasi secara haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, kilang tersebut dikenakan tindakan POK di bawah Seksyen 38 (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 pada 22 Januari lalu bagi menghentikan operasi yang menyebabkan pencemaran udara dan masalah bau di kawasan berkenaan.

“Pihak kilang juga telah diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan bagi menangani masalah itu,” ujarnya.

Menurutnya, tindakan kilang yang ingkar arahan menyebabkan JAS menyita semula kelengkapan tersebut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 48 (b), AKAS 1974.

“Jika disabitkan kesahan, pesalah boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

The post Potong rantai besi, kilang ingkar arahan beroperasi secara haram appeared first on Kosmo Digital.