‘Raja Penyu’ mungkin singgah lagi di Terengganu

Razali 1024x682 1

Razali

KUALA NERUS: Penyu belimbing atau digelar ‘Raja Penyu’ yang kembali mendarat dan bertelur di jajaran Rantau Abang selepas sembilan tahun, berpotensi singgah lagi sebanyak dua kali pada musim sama.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penyu belimbing dipercayai singgah sehingga tiga kali dalam satu musim di kawasan perairan sama.

“Kalau dikira petua orang tua-tua, penyu ini tiga kali singgah satu musim dan berada di sekitar perairan tempat pertama yang dia singgah.

“Jadi, kalau ikut itu, maka ada dua kali lagi. Ada dua kali lagi dalam semusim ini dan dijangka sebelum November ini,” katanya selepas menghadiri Konvoi Jalur Gemilang dan Majlis Pelepasan Peserta Terengganu Merdeka Challenge di Bandar Baru Kuala Nerus, di sini.

Terdahulu, penyu belimbing dipercayai mendarat dan bertelur di Pantai Gong Balai, Marang, dekat sini pada 1 September lalu dengan sebanyak 44 biji telur ditemukan sebelum dipindahkan dengan selamat ke pusat penetasan di Rantau Abang.

Kepulangan ‘Raja Penyu’ itu menjadi perkembangan yang cukup bermakna selepas spesies berkenaan tidak direkodkan mendarat di pantai Terengganu sejak hampir sembilan tahun lalu.

Razali berkata, penyu belimbing adalah spesies penyu terbesar dengan saiz badan boleh mencapai lebih dua hingga tiga meter manakala telurnya juga kira-kira tiga kali lebih besar berbanding telur penyu biasa.

Katanya, spesies berkenaan suatu ketika dahulu cukup sinonim dengan Rantau Abang, namun kini hampir pupus daripada jajaran tersebut selepas berlaku kemerosotan populasi.

Menurut beliau, kawasan jajaran Rantau Abang masih merangkumi Pasir Putih, Gong Balai hingga Rantau Abang,manakala di sebelah Dungun ia meliputi sehingga Seberang Pintasan.

“Kemunculan semula penyu belimbing  memberi gambaran bahawa kawasan berkenaan masih mempunyai potensi untuk menjadi habitat penting spesies itu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengadakan sesi libat urus bersama kira-kira 70 pemain industri pelancongan dan lebih 20 agensi berkaitan di Pulau Redang, dekat sini bagi membincangkan usaha memulihara kelestarian ekosistem marin termasuk terumbu karang.

Katanya, sesi itu diadakan dalam masa terdekat  membabitkan pengusaha bot, bot lawatan harian, resort dan chalet.

Menurut beliau, antara perkara yang akan dibincangkan adalah pengurusan pemindahan menggunakan bot, aktiviti bot lawatan harian serta kemungkinan mengehadkan jumlah pelancong ke pulau atau aktiviti menyelam bagi mengurangkan tekanan terhadap ekosistem marin.

“Saya mahu jumpa semua pengusaha kerana sebenarnya mereka yang mencari makan di pulau ini dan mereka juga perlu menjaganya. Ada cadangan untuk mengehadkan sama ada jumlah orang ke pulau ataupun jumlah orang yang melakukan aktiviti menyelam. Kita akan bincangkan dan tengok mana yang sesuai,” katanya. – UTUSAN

 

The post ‘Raja Penyu’ mungkin singgah lagi di Terengganu appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles