Mahkamah

Semakan kehakiman tidak remeh tetapi relif akademik

Mahkamah

PUTRAJAYA: ‘Kerisauan’ seorang aktivis dan dua penduduk kerana perlu tinggal berdekatan dengan tapak pelupusan kekal (PDF) untuk sisa radioaktif adalah berasas dan bukan satu perkara remeh.

Alasan itu sudah cukup untuk mereka, Pengerusi Save Malaysia, Stop Lynas, Tan Bun Teet serta dua penduduk Kuantan, Pahang iaitu Ismail Abu Bakar serta G. Ponusamy untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan kerajaan menyambung lesen operasi Lynas Malaysia Sdn. Bhd. yang terletak di Gebeng, Pahang.

“Separuh jangka hayat torium ialah selama 14 bilion tahun yang merupakan garis dasar kepada pusat pelupusan tersebut. Sisa penulenan air larut lesap (WLP) dijangka akan terus radioaktif sepanjang hayat kita yang berada dalam kes ini sekarang, hayat anak-anak kita dan anak kepada anak-anak kita.

“Atas alasan ini, kami (Mahkamah) berpendapat bahawa perayu-perayu mempunyai alasan yang kukuh untuk memulakan semakan kehakiman ini dan permohonan ini bukanlah sesuatu yang remeh. Atas sebab itu, perayu tidak boleh diarahkan untuk menanggung kos,”kata Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan.

Mahkamah kemudian memerintahkan agar kos ditanggung oleh pihak masing-masing dan turut mengetepikan kos RM20,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Hakim tersebut berkata demikian ketika membaca penghakiman ringkap panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Supang Lian yang turut bersidang bersama Datuk Seri Mariana Yahya.

Sisa WLP merupakan sisa yang terhasil daripada pemprosesan mengekstrak torium dan dikategorikan sebagai radioaktif.

Terdahulu, panel terbabit mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 28 Julai 2023 atas alasan relif yang dimohon oleh kesemua perayu telah menjadi akademik.

“Berdasarkan fakta, Mahkamah tidak dapat lari daripada kesimpulan bahawa relif yang dimohon telah menjadi akademik selepas beberapa kejadian yang berlaku (selepas permohonan difailkan). Konteks fakta (yang dipertikaikan) telah berubah dan sebarang cabaran yang dibuat oleh perayu tidak akan memberi kesan kepada mana-mana pihak.

“Atas alasan ini, kami mendapati mahkamah terdahulu tidak terkhilaf apabila membatalkan semakan kehakiman perayu-perayu. Oleh itu, rayuan ini dibatalkan dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,”ujar Hakim Azizul Azmi.

Pada 28 Julai 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan  Bun Teet, Ismail dan Ponusamy selaku pemohon, terhadap Dr Mahathir serta 27 menteri Kabinet ketika itu, Kerajaan Malaysia, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Lynas selaku responden pertama sehingga ke-31.

Tiga individu terbabit antara lain mereka memohon satu deklarasi untuk membatalkan keputusan Dr. Mahathir dan 27 menteri Kabinetnya pada 15 Ogos 2019 yang membenarkan operasi Lynas dilanjutkan selama enam bulan.

Tan turut memfailkan bantahan terhadap penaksiran kesan persekitaran (EIA) dengan menunjukkan bahawa berlaku pelanggaran syarat lesen dan pencemaran air bawah tanah seperti dalam laporan Jawatankuasa Penilaian Eksekutif (ERC). – UTUSAN

 

The post Semakan kehakiman tidak remeh tetapi relif akademik appeared first on Utusan Malaysia.