Separuh England diisytihar kemarau akibat tiada hujan
![]()
LONDON: Separuh daripada wilayah England kini secara rasmi diisytihar kemarau berikutan taburan hujan yang mencatatkan rekod terendah dan peningkatan suhu panas berpanjangan, menurut Agensi Alam Sekitar.
Tujuh wilayah kini sah mengÂalami kemarau iaitu East Anglia, Hertfordshire, London; Lembah Thames, Hampshire dan Isle of Wight, Devon, Cornwall; West Midlands selain Wessex yang merangkumi Dorset, Somerset, Wiltshire serta South Gloucestershire.
Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) turut mengeluarkan amaran kesihatan panas tahap jingga bagi kawasan East Midlands, East of England, South East dan London.
Amaran itu kekal berkuat kuasa sehingga Khamis, deÂngan agensi itu memberi peÂringatan bahawa peningkatan suhu boleh meningkatkan risiko kesihatan terutamanya bagi kumpulan rentan.
Keadaan cuaca kering ini menyusul selepas peristiwa kemarau musim panas lalu, apabila UK terus berdepan cuaca ekstrem yang didorong oleh perubahan iklim berpunca daripada aktiviti manusia terutamanya pembakaran bahan api fosil.
Keadaan itu berlaku selepas Julai tahun ini dijangka menjadi bulan paling kering dalam rekod.
Ini kerana bulan itu merekodkan hanya tujuh peratus daripada jumlah taburan hujan yang dijangkakan direkodkan di seluruh negara.
Beberapa kawasan di selatan England hanya menerima satu peratus daripada jumlah hujan yang sepatutnya, menurut Agensi Alam Sekitar.
United Kingdom kini mengalami gelombang haba meluas yang keempat pada tahun ini.
Agensi itu menyifatkan keadaan itu dikenali sebagai ‘kemarau mendadak’. – AGENSI
The post Separuh England diisytihar kemarau akibat tiada hujan appeared first on Utusan Malaysia.