Serian menghampiri tahap darurat, IPU cecah 495
![]()
PETALING JAYA: Kualiti udara di Serian, Sarawak menghampiri tahap darurat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 495 setakat pukul 7 pagi ini.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan IPU Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan itu meletakkan Serian pada tahap pencemaran udara yang amat tinggi dan menghampiri paras maksimum 500.
Selain Serian, tiga lagi kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat, iaitu Kuching (289), Samarahan (265) dan Sri Aman (250).
Sementara itu, enam kawasan lain di Sarawak dan dua lokasi di Sabah mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Kawasan berkenaan ialah Sarikei (181), Sibu (174), Mukah (169), Bintulu (159), Samalaju (153), Institut Latihan Perindustrian Miri (149), Sandakan (153) dan Politeknik Kota Kinabalu (125).
Bacaan IPU 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 dikategorikan bahaya.
Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilaporkan berkata, negeri itu bersedia mengisytiharkan darurat jika pencemaran udara akibat jerebu mencapai tahap kritikal susulan pembatalan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.-UTUSAN
The post Serian menghampiri tahap darurat, IPU cecah 495 appeared first on Utusan Malaysia.