Tebar pukat bukan dapat ikan tapi sampah

MELAKA: Kira-kira 470 nelayan di lapan pangkalan dari Klebang hingga Pantai Kundor terjejas teruk dengan pendapatan dan hasil tangkapan merosot ekoran pencemaran sampah sarap di perairan dekat sini.

Masalah sampah sarap terutama rumput yang dipotong, plastik, kayu dan sebagainya telah merosakkan jaring pukat hanyut nelayan.

Ketua Nelayan Pangkalan Puteri, Rosli Ahmad berkata, masalah sampah sarap dihanyutkan ke laut berlarutan terlalu lama, seolah-olah tidak ada penyelesaian biarpun aduan telah dibuat kepada pihak berwajib.

Menurutnya, sampah sarap terutama rumput yang dipotong oleh kontraktor pembersihan di Pantai Puteri dibuang ke kawasan longkang yang menghala ke laut.

“Sebab sampah ini punca banyak jaring nelayan rosak teruk dan terpaksa menanggung kerugian antara RM4,000 hingga RM8,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Rosli memberitahu, Pantai Puteri paling teruk terjejas selain Pantai Kundor, Pantai Rombang, Pantai Jaring, Pantai Perigi, Tanjung Kling dan Lereh.

Dalam pada itu, seorang nelayan, Mohd. Muszairi Mohamed, 37, berkata, dia kesal dengan sikap kontraktor pembersihan di Pantai Puteri yang membuang sampah ke dalam longkang hingga mencemari perairan.

Katanya, dia telah membuat laporan di Balai Polis Tanjung Kling berhubung kerugian sebanyak RM8,000 akibat jaring pukat hanyutnya koyak rabak disebabkan sampah. – UTUSAN

 

The post Tebar pukat bukan dapat ikan tapi sampah appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles