Terkandas di Dubai, rakyat Malaysia bimbang kos meningkat

Bh4kandasdidubai o bhfield image listing featured v2. Var 1772598633

KUALA LUMPUR: Seorang perunding Malaysia yang dalam urusan perniagaan ke Dubai terkandas tiga hari selepas lapangan terbang ditutup berikutan konflik di Asia Barat.

Allan Sandosham, 66, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada 26 Februari dan sepatutnya dijadualkan ke Singapura pada 1 Mac.

“Saya selesai bermesyuarat dengan pelanggan pada Jumaat dan telah mendapatkan pas masuk untuk penerbangan Ahad apabila berita lapangan terbang ditutup tersebar,” katanya yang bekerja dalam industri minyak dan gas (O&G).

Pembatalan itu menjejaskan jadualnya kerana beliau dijadual mengendalikan bengkel lima hari di Singapura minggu ini.

“Saya terpaksa mengendalikan bengkel secara dalam talian dari bilik di Novotel Deira City Center dua hari lalu, bermula pada 5 pagi,” katanya kepada BERNAMA menerusi WhatsApp, malam tadi.

Beliau berkata, hampir tiada komunikasi daripada syarikat penerbangan dan pembukaan semula kelihatan seperti tidak mungkin berlaku dalam tempoh terdekat.

Walaupun dapat menyelesaikan bengkel secara jarak jauh, Allan bimbang dengan kos lanjutan penginapannya.

“Saya telah hantar e-mel kepada Kedutaan Malaysia mengenai keadaan ini dan berharap dapat dipertimbangkan sekiranya kerajaan mengaturkan pemindahan,” kata Allan yang berkunjung ke Dubai buat kali pertama.

Katanya, walaupun penerbangan komersial disambung semula hujung minggu ini, tunggakan penumpang yang terkumpul tidak dapat dielakkan, mengambil kira kebiasaan terdapat tiga penerbangan harian dari Dubai ke Kuala Lumpur.

“Terdapat pemberitahuan rasmi daripada Abu Dhabi bahawa kerajaan akan menanggung makanan dan penginapan mereka yang terkandas, tetapi kami tidak mendengar apa-apa dari Dubai,” katanya yang sentiasa berhubung dengan keluarga dan rakan di Malaysia serta tempat lain dan berharap dapat pulang ke tanah air tidak lama lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles