Tiada kompromi untuk penternak sengaja lepas sisa kumbahan babi – Mooi Lye

Whatsapp image 2026 09 04 at 13. 00. 06 1 1024x670 1

Whatsapp image 2026 09 04 at 13. 00. 06 1

BUTTERWORTH : Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana penternak yang dikesan sengaja melepaskan sisa kumbahan babi secara haram sehingga mencemarkan kawasan parit dan sungai khususnya di kawasan Kampung Selamat, Tasek Gelugor.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar serta Desa Pulau Pinang, H’Ng Mooi Lye berkata, dalam hal ini, tindakan tegas akan diambil termasuk membawa kes tersebut ke peringkat mahkamah jika perlu.

“Setiap minggu, DVS (Jabatan Perkhidmatan Veterinar) akan turun memantau kawasan itu dan saya juga akan menyiapkan laporan berkaitan untuk dibentang dalam mesyuarat Exco (mingguan).

“Jadi, kita tidak akan sewenang-wenangnya berkompromi kepada penternak-penternak babi ini jika mereka ‘curi-curi’ untuk lepaskan sisa-sisa (kumbahan) ke dalam parit dan sebagainya.

“Pemantauan memang kita buat berterusan, setiap minggu kita turun. Sekiranya kita dapati mereka melepaskan sisa tersebut (dengan sengaja), maka, DVS akan keluarkan saman dan bawa kes ke mahkamah supaya tindakan lebih keras akan diambil,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mahu kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) segera mengambil tindakan bagi menangani isu pencemaran kumbahan ladang babi di Kampung Selamat yang didakwanya membebankan penduduk setempat sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Wan Saiful berkata, ketika ini juga, pihaknya bersama Jawatankuasa Bertindak Tasek Gelugor sedang berusaha untuk mengumpul bukti saintifik berhubung pencemaran berkenaan dengan pengambilan sampel dibuat di kawasan Parit Cina serta disertai oleh beberapa wakil rakyat setempat.

Sementara itu, Mooi Lye berkata, kerajaan negeri telah mewajibkan kesemua penternak babi di Kampung Selamat untuk menghantar sisa kumbahan haiwan tersebut ke loji biogas di Ampang Jajar di sini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kesan akibat pencemaran terbabit.

Pada masa yang sama katanya, penternak babi yang terlibat juga diberi tempoh antara enam hingga lapan bulan bermula Mei lalu untuk melupuskan sisa mendapan (storage) bertakung yang terkumpul di kawasan ladang ternakan mereka sejak puluhan tahun lalu.

Menurut beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula akan membantu kerja-kerja pembersihan mendapan secara menyeluruh dengan menggunakan pendekatan pelan pemulihan berfasa yang pernah dilaksanakan di ladang ternakan babi di Kampung Valdor sebelum ini yang terbukti berjaya dalam meningkatkan kualiti air serta kawasan persekitaran.-UTUSAN

The post Tiada kompromi untuk penternak sengaja lepas sisa kumbahan babi – Mooi Lye appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles