Tiada pembalakan haram di Ulu Muda

KULIM: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan haram dikesan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, Sik.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu,  maklumat berkenaan diperolehi daripada laporan yang diberikan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Bagaimanapun, beliau memaklumkan pihaknya akan terus meneliti aduan yang dikemukakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini berhubung dakwaan berlaku mendapan lumpur di Ulu Muda.

“Laporan awal yang kita terima adalah tidak ada aktiviti pembalakan atau penerokaan yang haram (di Ulu Muda). Tetapi kita akan terus teliti secara lanjut untuk memastikan memang betul tidak ada pencerobohan di sana.

“Ini kerana Ulu Muda merupakan satu lembangan yang sangat sensitif dan melibatkan bekalan air untuk tiga buah negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar selepas Lawatan Program Rumah Ibadat Hijau (RIH) di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tarbiah Diniah, di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan sebuah NGO mendakwa kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda yang terlalu drastik sejak kebelakangan ini berkemungkinan menjadi punca kepada masalah mendapan lumpur sehingga menyebabkan air di kawasan Empangan Muda menjadi keruh.

Penasihat Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd. Sobri Ramlee mendakwa, aktiviti tanpa kawalan dan pemantauan pihak bertanggungjawab itu memberi kesan buruk bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi manusia.

Mengulas perkara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hairan mengapa ada pihak yang menuduh kononnya Kedah melakukan pembalakan di Ulu Muda hingga menyebabkan kawasan itu tercemar sedangkan penguatkuasaan peraturan, proses dan prosedur dilakukan JPSM yang merupakan agensi Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chan Kon Yeow agar Kerajaan Persekutuan mempertimbang penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda bagi menguruskan sumber air di kawasan tadahan Ulu Muda, bukan perkara baharu.

“Kita tahu realiti hari ini Perlembagaan Persekutuan menyebut tentang pengurusan sumber air terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Jadi sebab itu pendekatan yang kita ambil adalah menggalakkan perbincangan antara kerajaan-kerajaan negeri yang terlibat.

“Sebagai contoh sebelum ini perbincangan bekalan air dari Perak ke Pulau Pinang pun bila ada beberapa perbezaan pandangan, akhirnya apabila kedua-dua kerajaan negeri bersetuju konsep dan sebagainya, itu yang membolehkan ia bergerak ke depan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya tuntutan RM100 juta setahun daripada Kedah sebagai komitmen memelihara hutan simpan di negeri itu termasuk Hutan Simpan Ulu Muda, Nik Nazmi berkata, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam. -UTUSAN

The post Tiada pembalakan haram di Ulu Muda appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles