Sanusi 1024x577 1

Tiada projek balak, lombong baharu dibuka di Kedah

Sanusi

SUNGAI PETANI – Kerajaan negeri tetap dengan pendirian tidak meluluskan sebarang projek pembalakan hutan dan perlombongan baharu di negeri ini bagi menjaga kelestarian dan sumber alam semula jadi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri tidak akan membuat sebarang kelulusan projek pembalakan atau pelombongan (kuari) baharu sebaliknya hanya meneruskan projek-projek yang telah diberi kelulusan oleh kerajaan terdahulu.

Katanya, ketika ini masih terdapat projek pembalakan seluas 80,000 hektar yang diluluskan kerajaan terdahulu yang sedang dan akan dilaksanakan mengambil masa selama 18 tahun.

“Ada permohonan, bukan tak ada yang mohon tetapi biasanya yang mohon kemudian ini, kita tak luluskan,m walaupun permohonan daripada anak-anak syarikat kerajaan Negeri.

“Yang tebang hutan simpan, kita tak bagi langsung, kita nak simpan hutan, nak selesaikan (permohonan) yang lama,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Negeri Kedah tahun 2024 di Dataran Tsunami, Kota Kuala Muda dekat sini, hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, sekiranya terdapat kawasan yang telah diluluskan sebelum ini, namun kemudian akan menimbulkan isu alam sekitar, pihaknya akan meminta mereka untuk menukar tempat baharu yang kurang sensitif kepada alam sekitar.

“Kalau boleh kita pakatlah antara pengusaha, antara pemegang konsesi yang telah diberi kelulusan atau yang dah buat bayaran supaya dapat menukar lokasi yang sensitif kepada lokasi lain demi kesejahteraan alam sekitar kita,”jelasnya.

Katanya, projek-projek yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu tidak boleh dibatalkan meskipun pentadbiran kerajaan telah bertukar.

“Kita tak boleh batalkan sesuka hati. Ada banyak syarikat pembalakan saman kerajaan negeri ada kerajaan kena bayar RM80 juta, tak boleh bayar ganti balik. Kita nak elak benda macam tu,” katanya.  -KOSMO! ONLINE.

The post Tiada projek balak, lombong baharu dibuka di Kedah appeared first on Kosmo Digital.