Tiga daripada 10 remaja Kelantan alami kemurungan

Hilmu 1024x1024 1

Hilmu

KOTA BHARU: Tahap kesihatan mental di Kelantan semakin membimbangkan apabila tiga daripada 10 remaja di negeri ini dikesan mengalami gejala kemurungan sederhana hingga teruk.

Lebih membimbangkan, dapatan Saringan Kesihatan Mental Negeri Kelantan 2025 menunjukkan, sebanyak 29.5 peratus remaja berusia 13 tahun hingga 19 tahun mengalami gejala kemurungan sederhana hingga teruk.

Sementara itu, 47 peratus golongan dewasa awal berumur 20 tahun hingga 39 tahun menunjukkan gejala kebimbangan sederhana hingga teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, dapatan tersebut menjadi petunjuk jelas bahawa usaha promosi kesihatan mental, pengesanan awal, intervensi dan sokongan psikososial perlu diperkukuh secara menyeluruh.

“Golongan muda adalah antara kumpulan yang memerlukan perhatian khusus melalui pendekatan promosi, pengesanan awal, intervensi awal dan sokongan psikososial yang berterusan.

“Susulan itu, kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) memperhebat pelbagai program intervensi termasuk Program Komuniti Minda Sejahtera (K-MINDSET) dan Latihan Pencegahan Bunuh Diri (MySAVE). 

“Pada masa sama, kita menyediakan program Pemantapan MySAVE dan K-MINDSET kepada sukarelawan serta Simposium Kesihatan Mental,” katanya semasa menjawab soalan Dr. Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

Hilmi berkata, perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial (MHPSS) kepada mangsa krisis dan bencana, Program Rehabilitasi Psikososial serta inisiatif pencegahan bunuh diri menerusi kerjasama pelbagai agensi turut dijalankan.

Katanya, sehingga kini semua 10 daerah di Kelantan mempunyai dua Lokaliti K-MINDSET masing-masing yang melibatkan seramai 164 sukarelawan komuniti.

“Rangkaian komuniti tersebut berfungsi sebagai barisan hadapan dalam mengesan individu berisiko dan membantu mereka mendapatkan sokongan lebih awal,” ujarnya.

Hilmi berkata, sebanyak 15 Talian Psikososial khas MHPSS  diwujudkan bagi membolehkan masyarakat mendapatkan bantuan psikologi, khidmat nasihat dan sokongan awal melalui panggilan telefon, aplikasi WhatsApp serta panggilan video.

Katanya, aktiviti promosi dan pendidikan kesihatan mental turut diperluas ke sekolah, institusi pengajian, tempat kerja dan komuniti bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental.

“Modul khas kesihatan mental untuk remaja dan belia juga dibangunkan menggunakan pendekatan interaktif seperti gamifikasi bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai program yang disediakan,” katanya. – UTUSAN

 

The post Tiga daripada 10 remaja Kelantan alami kemurungan appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles