30012024 41 uk sekat vape pixs online

UK bakal haramkan jualan vape pakai buang

30012024 41 uk sekat vape pixs online

LONDON: Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak bakal mengumumkan pelan untuk mengharamkan penjualan vape pakai buang dalam usaha mencegah remaja dan kanak-kanak daripada menggunakan rokok elektronik itu. 

Malah, pemimpin itu juga dijangka mengulangi hasrat kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang menghalang golongan muda daripada membeli tembakau.

Undang-undang baharu itu antara lain menetapkan sekatan pada perisa vape, keperluan pembungkusan biasa dan perubahan pada cara rokok elektronik itu dipaparkan untuk menjadikannya kurang menarik kepada golongan muda.

“Selain komitmen kami untuk menghentikan remaja berumur 15 tahun atau lebih muda daripada membeli rokok, perubahan ini akan meninggalkan legasi berkekalan dengan melindungi kesihatan kanak-kanak untuk jangka panjang,” jelas Sunak menerusi kenyataan.

Menurut kerajaan, tabiat merokok merupakan pembunuh terbesar yang boleh dicegah di Britain, dengan menyebabkan satu daripada empat kes kematian berkaitan kanser, atau kira-kira 80,000 setiap tahun.

Oktober tahun lalu, Sunak mengumumkan pelan untuk meluluskan undang-undang yang menetapkan mana-mana individu lahir pada atau selepas 1 Januari 2009 tidak akan dapat membeli tembakau sepanjang hayat mereka.

Jelas kerajaan, walaupun vape dilihat sebagai kaedah untuk membantu orang ramai berhenti merokok, namun wujudnya kebimbangan rokok elektronik itu boleh mendorong ketagihan nikotin dalam kalangan golongan muda.

Ia terbukti apabila kira-kira sembilan peratus daripada golongan berusia 11 hingga 15 tahun kini menggunakannya.

Pada Disember lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa semua perisa vape harus diharamkan.

Bagaimanapun, kumpulan industri dan Persatuan Industri Vaping UK berpandangan vape menimbulkan risiko kesihatan yang jauh lebih rendah berbanding tembakau serta pelbagai perisa membantu menggalakkan perokok untuk berubah.

“Saya mempunyai kewajipan untuk melakukan perkara yang betul untuk negara dalam jangka panjang.

“Atas sebab itu, saya mengambil tindakan tegas untuk mengharamkan vape pakai buang yang mendorong peningkatan penggunaan dalam kalangan remaja.

“Malah, membawa undang-undang baharu untuk menyekat perisa vape, memperkenalkan pembungkusan biasa dan mengubah rokok elektronik itu  dipamerkan di kedai,” kata Sunak.

Kerajaan menyatakan larangan vape pakai buang akan membantu alam sekitar, dengan lima juta dibuang setiap minggu. – REUTERS

The post UK bakal haramkan jualan vape pakai buang appeared first on Utusan Malaysia.