[VIDEO] Keputusan bedah siasat 4 gajah mati tiga minggu lagi
KLUANG – Proses bedah siasat ke atas empat ekor gajah yang ditemui mati berhampiran Felda Kahang Timur sudah selesai dan bangkainya ditanam di lokasi penemuan pada Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, keputusan bedah siasat hanya akan di maklumkan selepas ujian kimia dan dijangka akan mengambil masa kira-kira tiga minggu.
“Diharapkan kejadian seumpama ini tidak berulang lagi kerana selain menyalahi undang-undang seandainya dengan sengaja membunuh binatang kawalan sama ada dengan racun atau cara lain.
“Sebarang konflik sama ada dengan gajah atau binatang-binatang liar yang lain seharusnya dilaporkan kepada pihak berkaitan agar dapat dicari jalan penyelesaian dengan cara baik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, tinjauan di lokasi penemuan bangkai gajah di Kampung Sri Timur itu mendapati tiada sebarang aktiviti pertanian dilakukan pekebun atau pemilik tanah kecuali bekas tanah di gali dipercayai tempat gajah ditanam.
Seorang penduduk Kampung Ilham yang terletak bersebelahan dengan tempat penemuan bangkai gajah itu, Rosli Mohamad, 60, berkata, tidak dapat dipastikan sebab-sebab kenapa kumpulan gajah itu mati secara mengejut di kawasan itu.
Ujarnya, mungkin gajah-gajah ini terlebih dahulu makan sesuatu di tempat lain dan menjadikan lopak air di kawasan penemuan bangkai untuk mendapatkan minuman.
“Apa pun alasan, meletakkan racun dalam makanan sehingga membunuh gajah-gajah ini adalah satu tindakan tidak berperikemanusiaan dan seharusnya dikenakan tindakan sewajarnya jika benar sebab kematian berpunca daripada racun,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram
The post [VIDEO] Keputusan bedah siasat 4 gajah mati tiga minggu lagi appeared first on Kosmo Digital.