Bukan mudah fahamkan anak, ayah mereka tiada’
PARIT – Kehilangan ketua keluarga yang menjadi tempat bergantung secara tiba-tiba selepas terbabit kemalangan di tempat kerja sukar ditelan Nurul Jannah Huri dan tiga anaknya yang berusia dua, enam dan lapan tahun.
Namun, Nurul Jannah, 35, perlu meneruskan kehidupan biarpun tanpa suami, Mohd. Faizal Ismail, 41, yang meninggal dunia akibat dihempap kayu di tempat kerjanya di Manjung pada 30 Ogos lalu.
Menurut wanita itu, arwah suaminya mencari rezeki buat mereka lima beranak sebelum ini kerana dia tidak dapat bekerja ekoran penyakit saraf selepas terlibat kemalangan ketika berusia lima tahun.
“Penyakit (saraf) ini mula dikesan apabila saya masuki sekolah menengah. Saya tidak dapat melakukan kerja berat untuk tempoh panjang.
“Jika memasak sekalipun saya perlu berhati-hati kerana tangan mudah kebas,” katanya ketika baru-baru ini.
Terdahulu, Nurul Jannah menerima kunjungan Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Manjung, Mohd. Shaperi Md. Salleh.
Mengulas lanjut, wanita itu berkata, ketika ini dia dan tiga anaknya tinggal di rumah kakaknya di Kampung Telok Bakong, Lambor Kanan di sini. Mereka menjaga ibu, Umi Noordin, 73, di rumah tersebut.
Emosi Nurul Jannah tersentuh apabila anak-anaknya kerap bertanya tentang bapa mereka.
“Bukan mudah untuk menerangkan kepada mereka. Saya sendiri sukar percaya apabila rakan sekerja arwah beritahu bahawa suami ditimpa kayu di tempat kerjanya.
“Arwah baru 15 hari bekerja di kilang itu, namun insiden itu telah meragut nyawanya dan saya reda,” katanya.
Nurul Jannah menerima bantuan Faedah Orang Tanggungan berjumlah RM1,665 secara bulanan. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nurul Jannah di talian 010-3444828.
The post Bukan mudah fahamkan anak, ayah mereka tiada’ appeared first on Kosmo Digital.