Copy of bizm tokyo2612aaa hmfield image listing featured v2. Var 1704237194

Daihatsu pampasan kepada pembekal selepas gantung operasi

Anak syarikat pengeluaran kereta bersaiz kecil Toyota Motor, Daihatsu Motor akan memberikan pampasan kepada 423 pembekal domestik yang memiliki hubungan langsung selepas penggantungan operasi pengeluaran kilangnya di Jepun yang terpalit dengan skandal keselamatan.

Menurut jurucakap, pengeluar kereta bersaiz kecil itu menghentikan pengeluaran di kilangnya, sehingga akhir Januari tahun hadapan.

“Syarikat itu akan mempertimbangkan untuk memberi pampasan kepada pembekal berdasarkan jumlah perniagaan lalu dan sedang berusaha untuk menilai kesan pemberhentian itu terhadap rangkaian pembekalnya yang lebih luas,” katanya.

Rabu lalu, Daihatsu berkata, ia menghentikan penghantaran semua kenderaannya selepas siasatan keselamatan mendapati isu membabitkan 64 model, termasuk hampir 24 model yang dijual di bawah jenama Toyota.

Syarikat itu akan bekerjasama dengan pembekal utama untuk menangani kesan daripada skandal itu dan mungkin juga membantu subkontraktor kecil yang tidak menerima pampasan untuk mengakses dana sokongan daripada kementerian industri, tambah jurucakap itu.

Operasi luar negara Daihatsu banyak tertumpu di Asia Tenggara.

Ia menyambung semula pengeluaran kereta jenama Perodua di dua kilang usaha sama yang dikendalikannya dengan pembuat kereta Malaysia, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) selepas mendapat kelulusan kawal selia, kata jurucakap itu.

Minggu lalu, syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Toyota berkata, ia menyambung semula penghantaran daripada anak syarikatnya di Indonesia, PT Astra Daihatsu Motor.

© New Straits Times Press (M) Bhd