4,409 kes kemalangan di tempat kerja dalam 5 bulan, sektor perkilangan paling tinggi – JKKP
TAIPING: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) merekodkan 4,409 kes kemalangan di tempat kerja seluruh negara sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Mohd Hatta Zakaria berkata sektor perkilangan mencatat kes tertinggi dengan 2,320 kes, diikuti sektor pertanian, perhutanan dan perikanan (510 kes), kewangan, insurans dan hartanah (481 kes), pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi (280 kes), hotel dan restoran (219 kes), kemudahan elektrik (181 kes), perkhidmatan awam (177 kes), pembinaan (64 kes) serta perlombongan (23 kes).
“Sebanyak 94 kes membabitkan kemalangan maut daripada keseluruhan kes yang direkodkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) dan Road to 150 Years of OSH Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Mohd Hatta berkata, Selangor negeri tertinggi merekodkan kes kemalangan di tempat kerja dengan 975 kes, diikuti Johor (810 kes), Perak (422 kes), Pulau Pinang (377 kes), Pahang (255 kes), Negeri Sembilan (247 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (247 kes), Sarawak (242 kes), Sabah (206 kes), Kedah (205 kes), Melaka (204 kes), Kelantan (112 kes), Terengganu (88 kes), Labuan (13 kes) serta Perlis (enam kes).
Sementara itu, beliau berkata lebih 200 individu menyertai Minggu OSH 2025 yang dianjurkan bertujuan memupuk budaya kerja selamat serta meningkatkan kesedaran keselamatan di tempat kerja.
Mohd Hatta berkata program bertemakan Merevolusikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan: Peranan Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendigitalan di Tempat Kerja itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Tema Minggu OSH 2025 ini selaras dengan landskap dunia pekerjaan moden yang semakin dipacu teknologi seperti automasi, peralatan pintar, pemantauan masa nyata, serta penggunaan data analitik dan sistem algoritma,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 350,000 penyertaan disasarkan melalui pelaksanaan Ikrar Integriti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang bermatlamat menyemarakkan budaya kerja selamat dan sihat serta meningkatkan kesedaran dan komitmen berterusan terhadap pematuhan aspek OSH di semua peringkat.
© New Straits Times Press (M) Bhd