ACCCIM gesa kerajaan laksana Sistem Kelulusan Tunggal mudahkan pengambilan pekerja asing

KUALA LUMPUR: Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menggesa pelaksanaan Sistem Kelulusan Tunggal atau Pusat Sehenti (OSC) bagi pengambilan pekerja asing diletakkan sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Presidennya, Datuk Ng Yih Pyng, berkata pada masa sama, pihaknya mencadangkan kerajaan supaya menaikkan paras ambang pengecualian pengecopan kontrak pekerjaan daripada gaji bawah RM300 kepada paras yang lebih realistik iaitu RM10,000 sebulan.
“Semua cadangan itu dikemukakan ketika sesi libat urus konstruktif antara delegasi ACCCIM yang diketuai bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
“Perbincangan itu turut meliputi pelbagai isu berkaitan pengurusan pekerja asing, pengecopan kontrak di bawah Akta Duti Setem 1949, pelaksanaan mekanisme levi berperingkat, Dasar Gaji Progresif dan bidang kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
“Langkah menyeragamkan proses pengambilan pekerja asing di bawah satu agensi tunggal diyakini dapat meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan proses permohonan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Yih Pyng berkata, ACCCIM turut mengesyorkan kerajaan supaya mempertimbangkan pelaksanaan pengampunan besar-besaran (grand amnesty) terhadap ketidakpatuhan sejak 1 Januari 2022 serta dasar ‘grandfathering’ bagi memastikan pematuhan tidak dikenakan secara retrospektif demi memberikan kepastian undang-undang kepada pihak industri.
Katanya, Sim dan ACCCIM sudah menyatakan persetujuan terhadap keperluan untuk memperkukuh dialog berterusan antara sektor kerajaan dan swasta bagi meningkatkan kefahaman terhadap dasar serta program sedia ada di bawah KESUMA.
“Dalam hal ini, pihak KESUMA menyatakan kesediaan bekerjasama rapat dengan ACCCIM bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman dalam kalangan ahli dewan mengenai pelbagai inisiatif sumber manusia termasuk Dasar Gaji Progresif, pembangunan kemahiran serta program peningkatan kemahiran (upskilling).
“ACCCIM akan terus menyokong pelaksanaan dasar dan inisiatif yang dibawa kerajaan dan KESUMA dalam bidang sumber manusia di samping memberikan maklum balas dan cadangan konstruktif ke arah membangunkan modal insan yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“ACCCIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas penjelasan dan pencerahan yang diberikan oleh YB Menteri. ACCCIM turut mengambil maklum komitmen kerajaan untuk memperkemas proses pengambilan dan pengurusan pekerja asing,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd